LLM pohon batal saman bekas kakitangan

Friday, July 6, 2018

LLM pohon batal saman bekas kakitangan

LLM pohon batal saman bekas kakitangan

KUALA LUMPUR - Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) mengemukakan permohonan untuk membatalkan saman yang dikemukakan oleh 47 bekas kakitangan berhubung isu wang persaraan, pencen dan ganjaran mereka.

Peguam Muhammad Akram Abdul Aziz yang mewakili LLM memaklumkan, mereka memfailkan permohonan itu 28 Jun lalu atas beberapa alasan berdasarkan Aturan 18 Kaedah-kaedah Mahkamah 2012.

Muhammad Akram berkata, kesemua plaintif gagal menunjukkan kausa tindakan munasabah terhadap LLM sebagai defendan pertama.

“Dari sudut teknikal, tuntutan plaintif mungkin lebih sesuai diputuskan menerusi prosiding semakan kehakiman, bukannya tindakan saman,” ujarnya.

Beliau berkata tindakan plaintif juga adalah suatu penyalahgunaan proses mahkamah memandangkan tuntutan deklarasi mereka membabitkan undang-undang awam seperti Akta Pencen Pihak Berkuasa Berkanun dan Tempatan 1980 serta polisi kerajaan berhubung penswastaan Projek Lebuhraya Utara Selatan.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Faizah Jamaludin menetapkan 6 Ogos ini untuk mendengar permohonan itu.

Semua plaintif diwakili peguam Muhamad Syaahrul Nizam Mohd Rabi akan membalas hujahan defendan pada prosiding seterusnya.

Pada 30 April lalu, semua bekas kakitangan itu memfailkan saman dengan menamakan LLM dan Projek Lebuhraya Usahasama Berhad (PLUS) sebagai defendan pertama dan kedua.

Semua plaintif mendakwa mereka bekas kakitangan LLM yang diarah diserapkan ke Lebuhraya Usahasama Berhad yang mengambil alih Projek Lebuhraya Utara-Selatan Berhad.

Mereka mendakwa 33 antara mereka masih berkhidmat dengan defendan kedua manakala selebihnya bersara.

Plaintif mendakwa sekitar 1988, mereka diarahkan meletak jawatan atau berhenti berkhidmat dengan LLM serta menerima tawaran bekerja dengan defendan kedua iaitu PLUS bagi melaksanakan Rancangan Penswastaan PLUS.

Akibat tindakan defendan itu, mereka mendakwa tidak diberi pilihan dan dipaksa menerima tawaran itu serta terdapat unsur penipuan kerana tidak dimaklumkan terma lengkap kontrak tawaran kerja.

Mereka memohon perintah deklarasi bahawa Fasal 19.21.1 Terma dan Syarat Perkhidmatan Untuk Kakitangan Bukan Eksekutif LLM (Skim B) tidak sah, terbatal dan bertentangan dengan Akta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja 1991.

Mereka juga memohon deklarasi bahawa Artikel 51 Perjanjian Bersama Keempat Antara LLM dengan Kesatuan Pekerja LLM adalah tidak sah dan terbatal.

Semua plaintif turut memohon perintah deklarasi bahawa mereka berhak di sisi undang-undang untuk menerima skim faedah persaraan tanpa sebarang penolakan caruman KWSP di pihak majikan dan faedah terkumpul atau dividen terkumpul.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment