Kena tolak ansur, hormat rakan politik: PKR

Thursday, July 5, 2018

Kena tolak ansur, hormat rakan politik: PKR

Kena tolak ansur, hormat rakan politik: PKR

BAGAN SERAI - Semua parti dalam Harapan Perak perlu bertolak-ansur, saling hormat-menghormati dan mengutamakan kepentingan rakyat dalam melaksanakan pengurusan pentadbiran kerajaan negeri ketika ini.

Setiausaha PKR Perak, Abdul Yunus Jamhari berkata, kesemua komponen Harapan Perak sepatutnya perlu meraikan perbezaan pandangan sesama rakan pakatan politik di samping mengenepikan kepentingan peribadi, kelompok tertentu dan agenda parti.

Menurutnya, Harapan Perak perlu ingat kemenangan pakatan politik itu pada PRU14 termasuk di negeri ini adalah disebabkan gelombang rakyat menolak BN, bukan kemenangan berpunca kekuatan parti tertentu.

"Sukacita saya ingin mengingatkan kemenangan Harapan di Perak cuma 29 kerusi Dun sahaja, sepatutnya semua parti komponen Harapan di negeri ini perlu bertolak ansur, saling hormat-menghormati, meraikan perbezaan pandangan sesama kita dan mengutamakan rakyat.

"Sekarang kerajaan Harapan sudah menang di peringkat negeri dan Persekutuan, jadi sekarang rakyat memerhatikan adakah Harapan mampu menjadi kerajaan lebih baik daripada kerajaan BN terdahulu?

"Ini satu tanggungjawab cukup berat kepada Harapan dan sebarang isu mengundang persepsi negatif daripada kacamata rakyat perlu dibendung bagi mengelakkan keyakinan mereka goyah,"katanya sewaktu ditemui media pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri PKR cabang Bagan Serai di sini hari ini.

Turut hadir Ketua PKR cabang Bagan Serai, Sharif Sarjono.

Abdul Yunus berkata demikian ketika diminta mengulas isu perlantikan Speaker Dun Perak apabila Penasihat DAP Perak, Ngeh Ko Ham dilantik mengisi jawatan itu meskipun pada peringkat awal terdapat persetujuan supaya Ketua Penerangan PKR Perak, Siti Aishah Shaik Ismail dilantik atas kapasiti mewakili PKR.

Abdul Yunus berkata, sebenarnya tiada sebarang keputusan rasmi dibuat antara semua parti dalam Harapan sebelum ini bahawa kerusi Speaker Dun Perak dikhaskan untuk PKR.

Cuma beliau menegaskan pada peringkat awal ada persefahaman antara kesemua parti dalam Harapan untuk menyerahkan kerusi itu kepada PKR disebabkan parti itu cuma mendapat dua kerusi Exco sahaja, berbanding Amanah(3) dan DAP(5).

"Tetapi apabila sampai malam terakhir sebelum persidangan Dun, terdapat pandangan berbeza mengenai kedudukan Speaker Dun Perak dan akhirnya ruang perbincangan dibuka semula.

"Keputusan (pemilihan calon Speaker Dun Perak) akhirnya dibuat secara konsensus melibatkan kesemua ketua empat parti dalam Harapan di peringkat negeri dan akhirnya PKR akur,"katanya.

Ditanya sama ada isu perlantikan Speaker Dun Perak memberi impak terhadap hubungan parti-parti dalam Harapan, Abdul Yunus menegaskan kesemua parti dalam Harapan masih dalam proses menyesuaikan diri dan saling mengenali antara satu sama lain.

"Kerajaan Harapan Perak pun masih dalam tempoh peralihan dan belum menjangkau usia 100 hari lagi.

"Mungkin ada perkara terlepas pandang pada saat ini antara kami.

"Kita akan berusaha memperbaiki sebarang permasalahan dari semasa ke semasa dan bersedia mengambil pengajaran dari isu yang berlaku," katanya.

Sebelum ini, Ketua Pembangkang Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir mendakwa wujud isu dalaman dikalangan Harapan berkenaan soal pemilihan Speaker Dun.

Ini kerana beliau difahamkan sebelum ini terdapat dua calon dari kerajaan Harapan iaitu Koo Ham dan juga Siti Aishah, namun hanya Ahli Parlimen Beruas itu sahaja diumumkan untuk calon Speaker tersebut dari kerajaan manakala dua lagi dari pembangkang iaitu BN dan Pas.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment