Gajah mati mungkin akibat pergaduhan
SANDAKAN - Bedah siasat ke atas gajah jantan yang ditemui mati berhampiran sebuah kem pembalakan terbiar di Hutan Simpan Kuamut di Kinabatangan menunjukkan haiwan itu mengalami retak teruk pada bahagian kiri tempurung kepala, yang membawa kepada kematiannya.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Hidupan Liar Sabah (SWD), Siti NurâAin Ampuan Acheh berkata kecederaan itu mungkin berpunca daripada pergaduhan dengan gajah lebih besar dalam kelompoknya.
Dalam kenyataan hari ini, beliau berkata SWD merakamkan terima kasih kepada petugas Rakyat Berjaya Sdn Bhd yang memaklumkan kepada jabatan itu tentang gajah terbabit, dianggarkan berusia antara lima dan lapan tahun.
Siti Nur' Ain berkata pada 19 Julai, SWD menerima laporan seekor anak gajah dijumpai mati berhampiran sebuah kem pembalakan terbiar di Hutan Simpan Kuamut.
Beliau berkata sebuah pasukan daripada jabatan itu dihantar ke lokasi untuk menyiasat dan melakukan bedah siasat bagi menentukan punca kematian.
Gading gajah itu masih utuh dan haiwan itu dipercayai mati antara tiga dan empat hari lepas sebelum dijumpai. - Bernama
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment