Warna-warni menyambut raya
KITA masih dalam mood raya. Alhamdulillah kita telah menyambut 1 Syawal dalam keadaan aman dan makmur. Seperti biasa; berpakaian baharu, bermaaf-maafan, kunjung-mengunjungi, menyediakan pelbagai juadah dan pemberian duit raya telah menjadi suatu kelaziman berpuluh tahun lamanya.
Pendek kata, umpama âtidak berayaâ jika tiada amalan sedemikian.
Meriahnya beraya merentasi semua golongan. Miskin cara miskin dan kaya cara kaya dalam menyambut hari raya. Ada yang menyambut secara ala kadar dan sederhana, namun tetap meriah. Ada juga yang beraya di luar negara untuk mengubah angin bersama ahli keluarga. Walau apa pun bentuk raya, kesemuanya itu adalah sebahagian kecil warna-warni hari raya.
Sebetulnya, kita harus ingat bahawa segala bentuk manifestasi raya kita hari ini adalah hasil tarbiah semasa Ramadan sebelum ini. Bagi mereka yang benar-benar fokus beribadat dalam Ramadan baru-baru ini tentunya mahu melihat dirinya lebih baik cara berfikir, menguruskan emosi dan bertingkah laku berbanding dengan keadaan sebelum ini.
Secara mudahnya, jika kita sebelum ini kurang pemurah dan telah melalui proses tarbiah Ramadan, maka besar harapan agar menjadi lebih pemurah selepas Ramadan. Begitulah juga dengan sikap-sikap yang lain. Pun begitu, hanya kita sendiri yang tahu setakat mana perubahan yang telah berlaku pada diri kita.
Hakikatnya, tiada banyak yang berubah. Jika sewaktu Ramadan masjid dipenuhi dengan para jemaahnya, sekarang kembali sunyi sepi. Jika sebelum ini kantung di masjid cukup sarat dengan derma Ramadan namun pada hari ini kembali seperti biasa. Kalau sebelum ini, rumah-rumah anak yatim dan orang tua-tua penuh dengan aktiviti, namun pada hari ini kembali sunyi seperti biasa.
Benarlah firman ALLAH, âIngatlah sesungguhnya jenis manusia tetap melampaui batas. Dengan sebab ia melihat dirinya sudah cukup apa yang dihajatinya. Sesungguhnya kepada Tuhanmu lah tempat kembaliâ. (QS Al-Alaq 96:6-8).
Sebetulnya, warna-warni hari raya juga boleh diukur dengan kepelbagaian tingkah laku manusia selepas berpuasa. Ada yang masih belum bersikap pemurah dalam memberikan duit raya kepada budak-budak yang beraya di rumahnya. (walaupun konsep memberikan duit raya ini ada yang mempertikaikannya) namun apa salahnya jika kita lebihkan sedikit memberi atas niat sedekah.
Ada juga ibu bapa yang cukup gembira melihat anaknya menerima duit raya daripada rakan-rakannya namun tidak pula âgembiraâ untuk memberikan duit raya kepada anak-anak rakannya pula.
Selain itu, masih ada juga yang tidak habis-habis berpolitik. Sindiran kepada tuan rumah dan sindiran daripada tuan rumah saling bersahut-sahutan sehingga tidak menyelesakan tetamu yang lain. Ada juga yang merajuk tidak mahu datang lagi ke rumah yang dikunjunginya tahun lepas.
Terdapat juga yang hanya lalu depan rumah dan tidak singgah naik sebentar untuk beraya atas alasan nak cepat dan sebagainya. Kesemuanya ini adalah sebahagian warna-warni raya yang melibatkan soal hati.
Bagi mereka yang hatinya âtisuâ maka sangat mudah untuk kecil hati. Bagi mereka yang berjiwa besar, kesemuanya itu adalah lumrah hidup dan di luar bidang kuasa kita.
Di samping itu, terdapat juga individu yang masih melayan perasaan marah dan dendam walaupun pada hari raya. Sementelahan untuk datang bermaaf-maafan sesama adik-beradik dan saudara-mara, malah dengan ibunya sendiri pun tidak datang menjenguk walaupun dirinya sudah sedia maklum bahawa ibunya sedang uzur dan tidak berupaya menguruskan diri.
Berkaitan hal ini, saya sebagai salah seorang ahli Lembaga Hakim Pelawat Penjara pernah mengutarakan satu soalan kepada penghuni penjara iaitu; âSiapakah individu yang paling hendak dijumpai setelah keluar daripada penjara nanti?.â Mereka terus memberikan jawapan dengan serentak, âmahu jumpa dengan ibu dan minta maaf banyak-banyak dengannyaâ.
Justeru, jika individu yang pernah melakukan kesalahan sehingga dipenjarakan pun masih ingatkan ibu, inikan pula anaknya yang masih sihat dan waras. âHebatnyaâ dia.
Sebetulnya, kegagalan kita berubah untuk menjadi lebih baik daripada sebelum ini adalah refleksi diri kita sepanjang Ramadan baru-baru ini. Ramai yang hanya berlapar dan dahaga dan bukannya berpuasa. Jika kita dipanjangkan umur, mungkin kita dapat bertemu lagi pada Ramadan pada tahun hadapan. Pun begitu, janganlah hanya nanti bila datang Ramadan baru nak berubah.
Sebaliknya perubahan boleh dilakukan pada bila-bila masa. Bagi mereka yang begitu fokus beribadah semasa Ramadan lalu dengan prinsip âImanan wahtisabanâ Insya-Allah akan memperoleh ganjaran yang besar daripada ALLAH bagi segala amal yang soleh. ALLAH tidak pernah memungkiri janji.
* Prof Madya Dr Huzili Hussin Dekan Pusat Pengajian Pembangunan Insan & Teknokomunikasi Unimap
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment