Eloklah Gerakan keluar

Saturday, June 23, 2018

Eloklah Gerakan keluar

Eloklah Gerakan keluar

IPOH - Gerakan wajar membuat keputusan keluar daripada BN selepas gagal memberi sumbangan berkesan membantu gabungan parti itu dalam PRU14 dan beberapa pilihan raya umum sebelum ini.

Ketua Penerangan BN Perak, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib berkata, sejak PRU13 lagi, Gerakan gagal  memenangi sebarang kerusi dalam pilihan raya umum.

Menurutnya, parti itu hanya nampak kembali bernafas apabila Presidennya, Datuk Seri Mah Siew Kiong menang dalam Pilihanraya Kecil Teluk Intan 2014.

"Kita di peringkat Umno dan BN merasakan sudah lama menanggung Gerakan seperti 'biawak hidup', parti yang sudah hilang hala tuju, tidak mendapat sokongan masyarakat Cina yang mahu diwakilinya dan berjuang semata-mata untuk mendapatkan kerusi semasa pilihan raya.

"Dengan keluar daripada BN, Gerakan boleh bebas merangka pembinaan semula kekuatan parti itu, terutamanya dalam menstrukturkan kembali kepimpinan di peringkat bahagian," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Khusairi yang juga Pengerusi BN Tanjung Malim berkata, di peringkat bahagian, tidak ada sebarang komitmen ditunjukkan oleh Gerakan bagi membantu calon BN bertanding di kawasan itu sepanjang kempen PRU14 lalu.

"Gerakan sudah lama berkubur di kebanyakan bahagian, di Tanjung Malim contohnya, hanya tinggal seorang pemimpin yang berjawatan Ketua Bahagian, itupun atas sebab mahu mengisi kuota jawatan Ahli Majlis Daerah," katanya.

Beliau turut menegaskan, tindakan Gerakan umum keluar BN, semalam adalah dibuat atas kehendak parti itu sendiri tanpa paksaan mana-mana pihak termasuk Umno.

"Kita harap Gerakan lebih berjaya dan dapat memberi saingan kepada DAP selepas keluar daripada BN," katanya.
 



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment