Dr Mohd Isa tawar diri

Monday, June 25, 2018

Dr Mohd Isa tawar diri

Dr Mohd Isa tawar diri

PONTIAN - Doktor Perubatan Obsterik dan Ginekologi, Dr Mohd Isa Ismail menawarkan diri sebagai calon Naib Ketua dalam  pemilihan Umno Bahagian Tanjung Piai pada penghujung bulan ini.

Dr Mohd  Isa yang juga Pengerusi Biro Pembangunan Sosial Umno Bahagian Tanjung Piai berkata, Umno kini berdepan dengan perkembangan arus politik era negara baharu memerlukan satu tindakan bagi perubahan parti lebih baik.

Katanya, sebagai ahli Umno yang setia, moto Bersatu, Bersedia, Berkhidmat dijadikan asas untuk menabur bakti dan terus berjuang bersama parti.

“Sebagai doktor, saya melihat Umno kini sedang sakit, kita perlu mencari penawar. Sebagai ahli Umno, kesetiaan sangat penting untuk sama-sama berjuang.

“Ada pelbagai cara untuk mengembalikan keyakinan orang luar terutama orang Melayu sendiri terhadap Umno.

“Pengalaman terlibat dengan program-program sosial seperti menyantuni golongan fakir miskin, khatan perdana, kelas tambahan percuma dan sebagainya akan digunakan untuk membina semula Umno,” katanya.

Menurut Isa lagi, sekiranya diberikan mandat untuk meneruskan program-program bermanfaat tersebut, beliau bercadang mewujudkan Food Bank di kawasan Dun Pekan Nanas dan Kukup.

“Berdasarkan pemerhatian, sebenarnya masih ramai golongan B40 yang perlu dibantu di Pekan Nanas dan Kukup.

“Kerjasama akan dijalin dengan pertubuhan bukan kerajaan ( NGO) iaitu Yayasan Bujang bagi merealisasikan hasrat mewujudkan Food Bank yang pertama di Bahagian Tanjung Piai ini,”katanya.

Mengenai barang yang diberikan, katanya ia lebih kepada keperluan harian seperti beras, minyak masak, susu tepung, gula dan lain-lain.

“Buat permulaan, cadangan sebanyak 200 set barang keperluan akan diletakkan di Food Bank di kawasan yang telah dikenal pasti di Pekan Nanas dan Kukup.

“Cumanya, kita tidak hadkan kepada sesiapa, tidak kira apa bangsa dan agama, mereka mengambilnya sebab tujuannya untuk membantu meringankan beban,”katanya.

Tambah Isa lagi, beliau yakin lebih ramai pihak akan tampil membantu menghulurkan dana sekiranya Food Bank dilaksanakan dan menjadi antara pendekatan Umno Bahagian Tanjung Piai membantu meringankan beban rakyat.

“Berdasarkan pengalaman dalam Umno sebelum ini, saya bersedia untuk terus menyumbang masa, tenaga, buah fikiran, idea serta komitmen kepada parti untuk sama-sama membina semula Umno,”katanya.

Beliau yang telah menjadi ahli Umno selama 10 tahun pernah menjadi Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Tanjung Piai sebagai Pengerusi Biro Pembangunan Sosial dan Exco Pendidikan serta Kesihatan.

Beberapa program yang dijalankan seperti Khatan Perdana selama tujuh tahun berturut-turut, Program Tuisyen Perdana bagi pelajar UPSR, PT3 dan SPM serta menyantuni golongan B40 secara berkala.

Bagi jawatan Naib Ketua Umno Bahagian Tanjung dijangka berlaku pertandingan tiga penjuru melibatkan Dr Mohd Isa Ismail, Zaharulail Abd Moez dan Saharudin.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment