13 kematian akibat lemas dicatat di Johor

Monday, June 25, 2018

13 kematian akibat lemas dicatat di Johor

13 kematian akibat lemas dicatat di Johor

JOHOR BAHRU - Sebanyak 13 kematian akibat lemas dicatatkan di negeri ini sejak Januari lalu sehingga kini termasuk kejadian terbaharu melibatkan dua kanak-kanak di lombong tinggal di Taman Suria, di sini, dua hari lalu.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamatan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Johor, Mohd Shukor Fadzil berkata, mengikut statistik, selain dua kanak-kanak itu, empat kematian lain adalah melibatkan warga emas manakala tujuh lagi dewasa.

“Kesemua 13 kematian ini merupakan daripada 12 kes lemas. Empat kematian masing-masing dicatatkan berlaku di sungai dan pantai, dua di laut, dua di lombong manakala satu di tasik,” katanya yang dihubungi Bernama di sini hari ini.

Mohd Shukor berkata, pengabaian terhadap aspek keselamatan merupakan antara faktor penyumbang kepada berlakunya kejadian lemas.

Beliau berkata, orang ramai juga dilihat masih tidak peduli dan memandang remeh mengenai keselamatan mereka di kawasan air walaupun mengetahui banyak kes lemas dilaporkan menerusi media.

Katanya, kawasan tapak pembinaan terbiar popular dalam kalangan kaki pancing juga disifatkan sebagai berbahaya kepada orang awam.

Sehubungan itu, Mohd Shukor berpandangan pihak berwajib perlu menutup atau mendirikan pagar di kawasan sekeliling bagi mengelak daripada dicerobohi orang awam.

“Ibu bapa pula diharap memantau pergerakan anak masing-masing, menasihati mereka supaya berhati-hati dan menjauhi kawasan air yang berbahaya selain memastikan anak mereka berada di bawah jagaan orang dewasa.

Banyak kes berlaku di mana rakan-rakan yang berniat membantu rakan mereka yang lemas turut terkorban kerana tidak mahir berenang,” katanya lagi.

Dua hari lalu, kanak-kanak perempuan, Norfifi Allysa Natalia Abdullah, 12, dan kanak-kanak lelaki, Mohamad Affiq Afnan Abdur Razzaq, 9, lemas ketika mandi di kawasan lombong tinggal di Taman Suria berkenaan, bersama lima rakan mereka.

Mayat Norfifi Allysa Natalia ditemui pada jam 6.26 petang manakala mayat Mohammad Affiq Afnan, pada 8.30 malam, hari yang sama. - Bernama



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment