Suami mengaku tidak bersalah cederakan isteri

AYER KEROH: Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan mencederakan isteri pertamanya, Julai tahun lalu.
Mohd Jaafar Abdul Halim, 50, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Norina Maludin.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang mempunyai dua isteri didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap isteri pertamanya berusia 54 tahun di sebuah rumah di Taman Seri Bertam, Bertam Ulu, jam 4 petang, pada 11 Julai tahun lalu.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Azri Zakaria yang melakukan pendakwaan menawarkan jaminan RM6, 000.
Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguambela merayu jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan perlu menanggung dua isteri dan orang 11 anak.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 14 Februari depan untuk sebutan semula kes.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment