TINDAKAN pantas anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perak berjaya menggagalkan cubaan seorang lelaki untuk terjun dari tingkat 12 sebuah kondominium bersebelahan hospital swasta di Jalan Raja Dihilir, Ipoh, hari ini.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh Syed Azrul Hizam Syed Abdul Aziz berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 7.20 pagi.
Katanya, sembilan anggota bersama sebuah jentera dari BBP Ipoh dikerahkan ke lokasi untuk tindakan menyelamatkan mangsa.
"Setibanya jentera bersama anggota di tempat kejadian, didapati seorang lelaki yang dipercayai mempunyai masalah peribadi sudah berada di luar pagar balkoni tingkat 12 berkenaan dipercayai dalam percubaan untuk bunuh diri.
"Keluarga dan jiran yang berada berdekatan dengan mangsa pada ketika itu sedang cuba menenangkan dan memujuk lelaki berkenaan," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Syed Azrul Hizam berkata, selepas 20 minit, anggota bomba berjaya memujuk lelaki terbabit dan mencapai tangannya.
Katanya, dua anggota bomba kemudian bertindak membuat ikatan kemas pada lelaki itu sebelum membawanya ke tempat selamat dan operasi berkenaan mengambil masa selama 40 minit.
sumber: hmetro
0 comments:
Post a Comment