Dong-hyun mahu ledak banyak gol

Tuesday, January 2, 2018

Dong-hyun mahu ledak banyak gol

Dong-hyun mahu ledak banyak gol

DO Dong-hyun bertekad mahu merekodkan lebih banyak gol bersama pasukan baharunya, Kelantan apabila saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2018 membuka tirainya, bulan depan.

Pemain import Korea Selatan itu berkata, dia akan berusaha mengatasi jumlah jaringan yang dicipta ketika menyarung jersi UiTM FC dalam kempen Liga Perdana musim lalu.

“Ketika mewakili UiTM FC, saya meledak 13 gol dalam 22 perlawanan dan sekarang saya ada impian baharu mahu menjaringkan lebih banyak gol bersama Kelantan.

“Saya akan cuba mencapai sasaran ini selain meraih seberapa banyak mungkin kemenangan untuk pasukan ini,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Musim lalu, pemain sayap itu berada dalam kelompok lima teratas penjaring terbanyak Liga Perdana di belakang Guilherme de Paula, Akanni Sunday Wasiu, Abdul Malik Mat Arif dan Dao Bakary.

Dong-hyun memberitahu, dia tidak sabar mahu beraksi dalam pentas Liga Super selepas semusim mewarnai kancah liga kelas kedua negara ini bersama kelab yang terkenal dengan jolokan The Lion Troops.

Malah pemain kidal berusia 24 tahun itu turut menzahirkan keterujaan dapat menyertai Kelantan setelah mengetepikan beberapa tawaran daripada pasukan lain.

“Saya tahu Kelantan mempunyai sejarah besar di sebalik pencapaian mereka dalam Liga-M. Sebab itu saya pilih Kelantan kerana mahu bermain dalam Liga Super dan keputusan saya ini tepat kerana Kelantan adalah pasukan besar di Malaysia,” katanya.

Menurut bekas pemain skuad kebangsaan Korea Selatan bawah 20 tahun itu, walaupun Kelantan tampil berwajah baharu namun dia optimis pasukannya mampu memberi saingan, pada musim ini.

“Saya dapat lihat ramai pemain muda bekerja keras dalam latihan. Ia sangat menakjubkan, mereka mahukan sesuatu yang berbeza pada musim ini dan saya gembira bersama rakan sepasukan ini,” katanya.

Mengulas harapan tinggi penyokong fanatik Kelantan, Dong-hyun mengakui ia merupakan situasi biasa yang perlu dihadapi mana-mana pemain berstatus import.

“Saya mempunyai pengalaman berdepan ramai penyokong ketika bersama kelab East Bengal dalam Liga India. Jadi, saya tahu bagaimana hendak mengawal minda dan ia bukan satu masalah besar bagi saya,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :


sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment