Saran terbit buku Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan

Friday, October 5, 2018

Saran terbit buku Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan

Saran terbit buku Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan

KUALA LUMPUR â€" Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismal mencadangkan supaya Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menerbitkan buku Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan yang bersesuaian dengan zaman Malaysia Baharu.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata meskipun sejarah kemerdekaan negara telah tercatat dalam buku sejarah namun semangat mengapresiasi sejarah dengan pemahaman baharu wajar dilakukan oleh para penyair.

“Semangat itu haruslah diterjemahkan ke dalam puisi-puisi patriotik yang lebih bermakna dan segar.

“Kita berharap juga para deklamator sentiasa mencari teknik-teknik deklamasi yang lebih menarik agar tidak menjadi perulangan yang lebih membosankan khalayak,” katanya sempena majlis Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan (SDPK) ke-32, di sini hari ini.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Setiausaha Politik Timbalan Perdana Menteri, Romli Ishak.

Dalam pada itu, Dr Wan Azizah juga menyarankan Gapena dan DBP supaya memohon kembali dana daripada Jawatankuasa Perayaan Bulan Kemerdekaan untuk penganjuran Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan supaya ia dapat diadakan setiap tahun dengan lebih meluas.

Katanya, acara tersebut pernah ditaja oleh jawatankuasa tersebut sebelum dihentikan pada 2010.

Turut hadir Ketua Satu, Gapena, Datuk Zainal Abidin Borhan dan Ketua Pengarah DBP, Datuk Abdul Adzis Abas.

Sementara itu, wakil Pahang, Siti Nur Zafran Zainal Abidin menjuarai SDPK 2018 dengan mendeklamasikan puisi bertajuk ‘Dialah Pemikir Bangsa’, hasil tulisan Ab Rani Embi.

Beliau membawa pulang piala pusingan Tun Ghafar Baba, wang tunai RM5,000, hadiah iringan dan sijil penyertaan.

Tempat kedua dimenangi wakil Pulau Pinang, Nur Sharina Cik Ibrahim yang mendeklamasikan puisi bertajuk ‘Landskapkan Ladang Merdeka', tulisan Meriam Awang.

Tempat ketiga disandang oleh wakil Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Nor Hafuza Muhammad Ari dengan tajuk ’Genggaman Perjuangan’ karya A. Hamid Jermain.

Pemenang tempat kedua dan ketiga masing-masing menerima wang tunai RM3,000 dan RM2,000 selain hadiah iringan dan sijil penyertaan. â€"Bernama



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment