Perlu tubuh dana khas urus cerun bukit

Tuesday, October 9, 2018

Perlu tubuh dana khas urus cerun bukit

Perlu tubuh dana khas urus cerun bukit

GEORGETOWN - Kerajaan Persekutuan perlu menubuhkan dana khas untuk mengurus dan memulihkan cerun bukit di negara ini terutama yang tidak stabil akibat pembangunan.

Penasihat Penang Citizen Awareness Chant Group, Yan Lee berkata, di Hong Kong, kerajaan negara itu memperuntukkan HKD1 bilion, iaitu kira-kira RM529 juta setahun untuk mengekalkan keadaan cerun bukit.

“Malaysia perlu mencontohi Hong Kong berikutan sehingga sekarang tidak pernah ada dana sedemikian selain mengalami kekurangan kakitangan dalam jabatan geoteknikal di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Jabatan geoteknik di Hong Kong mempunyai lebih dari 3,000 pakar dan kakitangan untuk memantau dan memastikan keselamatan bukit di negara berkenaan,” katanya kepada media, di sini, tadi.

Menurutnya, pengurusan cerun bukit terutamanya yang mempunyai pembangunan berhampiran di lereng bukit adalah penting bagi memastikan keselamatan penduduk berdekatan.

“Contoh terbaik adalah tanah runtuh di tapak pembinaan di Tanjung Bungah 21 Oktober tahun lalu yang mengorbankan 11 orang. Saya menghadiri siasatan kejadian dan mendapati terdapat kekurangan dalam keseluruhan sistem pengurusan cerun bukit di negara ini.

“Barisan panel suruhan jaya siasatan negeri ialah pakar antaranya Pengerusi Lembaga Rayuan, Datuk Yeo Yang Poh manakala Datuk Gue See Sew dan Ramli Nasir pula pakar geoteknikal. Mereka ialah individu yang perlu berunding dengan kerajaan negeri berhubung tanah runtuh dan isu cerun bukit,” katanya.

Yan Lee berkata, terbaru, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengumumkan bahawa kerajaan bercadang untuk meminda Akta Jalan, Saliran dan Bangunan 1974 untuk membolehkan kerajaan tempatan mengawal bangunan dan premis yang terletak di kawasan cerun bukit.

“Ia adalah cadangan yang baik namun Putrajaya juga harus berunding dengan pakar geoteknikal dari Pulau Pinang yang berpengalaman dalam isu itu. Kerajaan perlu memastikan pindaan undang-undang meliputi semua cerun bukit, termasuk cerun telah ditarah. Undang-undang dan penguatkuasaan harus diperketat dalam isu pembangunan cerun bukit.

“Putrajaya sepatutnya mempertimbangkan untuk menubuhkan panel pakar geoteknikal dalam memperhalus pindaan undang-undang tersebut. Barisan panel harus mempunyai pengalaman yang luas dalam menangani masalah cerun bukit,” katanya.

Menurutnya, ia bagi memastikan mereka dapat membuat cadangan yang lebih baik dalam undang-undang untuk mengawal perkembangan atau pengurusan cerun bukit dan undang-undang yang lebih ketat diperlukan untuk mengelakkan kejadian tanah runtuh akibat pembangunan.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment