Membangunkan sumber kemakmuran

Thursday, October 4, 2018

Membangunkan sumber kemakmuran

Membangunkan sumber kemakmuran

KEMAKMURAN (umran) dibina atas tiga sumber iaitu sejarah, kerjasama masyarakat dan alam sekitar. Ketiga-tiga sumber ini berinteraksi antara satu sama lain bagi melahirkan kemakmuran. Atas kaedah inilah maka Ibn Khaldun mendefinisikan umran sebagai:

“Suatu  fenomena  sosial  yang digerakkan oleh  sekumpulan masyarakat yang bekerjasama / bermuafakat di kawasan kota atau desa dalam sebuah negara yang berdaulat dan berpengaruh bagi tujuan memenuhi keperluan hidup yang selesa dan makmur sama ada dari segi rohani atau jasmani berpandukan agama dan akhlak serta hukum dan peraturan kejadian alam dan manusia ciptaan ALLAH Taala”- (Muqaddimah Ibn Khaldun: 132, 34,38)

Keadaan ini tercetus melalui tiga tahap: pertama, keperluan asas seperti agama, nyawa, akal, harta dan keturunan, kedua, keperluan tambahan yang tidak begitu diperlukan dalam kehidupan manusia, ketiga, pelengkap seperti adat tradisi yang baik dan bermanfaat, jika diperoleh, maka tahap kehidupan akan menjadi lebih selesa dan sempurna.

Kaedah ini telah diubahsuai oleh Ibn Khaldun kepada bidang kehidupan masyarakat iaitu bermula daripada kehidupan masyarakat yang miskin kepada kehidupan masyarakat kelas pertengahan dan seterusnya kepada kelas atasan.

Di samping sumber manusia dan sejarah, faktor alam fizikal seperti iklim, tanah, air dan udara untuk tujuan ternakan turut berperanan sebagai punca dan penyebab kepada berlakunya  kemakmuran di dalam negara.

Ibn Khaldun telah memberikan contoh. Menurut beliau, kota Kufah, Basrah dan Qairuwan sewaktu dibina seolah-olah tidak mengambil kira keperluan iklim. Dengan sebab itu keadaan ketiga-tiga kota itu kurang makmur. Oleh itu, beliau mencadangkan supaya faktor iklim dijadikan suatu keperluan bagi perancangan bandar dan luar bandar bagi tujuan kemakmuran masyarakat dan negara.

Menurut beliau lagi, di samping tiga sumber di atas, terdapat tiga lagi sumber umran iaitu agama, akhlak dan ilmu pengetahuan. Manusia memainkan peranan penting bagi membangunkan sumber yang ada bagi tujuan pembangunan.

Dalam konteks sejarah, manusia diibaratkan sebagai pelakon pentas dan yang dilakonkan adalah sumber sejarah. Baik buruknya hasil lakonan bergantung pada pelakonnya. Mungkin di sinilah letaknya perbezaan tafsiran antara masyarakat madani ciptaan ahli-ahli falsafah Yunani kuno dengan masyarakat umrani ciptaan Ibn Khaldun.

Jika ahli-ahli falsafah Yunani kuno mentafsirkan masyarakat madani dari sudut zahir bagi tujuan pembangunan fizikal, tetapi Ibn Khaldun mentafsirkan masyarakat umrani dengan mengambil aspek fizikal dan non-fizikal kejadian alam dan manusia sebagai sumber umran.

Ringkasnya, merujuk kepada ahli-ahli sejarah Yunani kuno seperti Herodotus dan Thucydides mengatakan bahawa sejarah hanya diukur dari sudut luaran, seperti peristiwa peperangan dan jatuh bangunnya sesebuah kerajaan dan negara, tetapi dari sudut dalaman ia lebih dari itu, iaitu  melibatkan latar belakang masyarakat, perubahan dalam masyarakat, nilai sosiobudaya masyarakat yang melibatkan kepercayaan agama dan pemikiran yang menjadi penyebab utama  kepada  peristiwa itu berlaku.

* Prof Dr Mahayuddin Yahaya & Dr Shereeza Mohamed Saniff dari Fakulti Pengurusan Pembangunan Islam, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Brunei Darussalam



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment