Lemas: Usaha agar tidak berulang

Friday, October 5, 2018

Lemas: Usaha agar tidak berulang

Lemas: Usaha agar tidak berulang

MASA kanak-kanak hingga remaja, saya sentiasa diingatkan ibu bapa jangan cuba ke tengah laut atau berkubang dalam sungai.

Kalau gian sangat pun merasa suasana laut dan pantai, cukuplah sekadar mencecah kaki ke gigi air, sambil mencari remeh dan mengambus badan dengan pasir.

Begitu sekali kuat amaran yang disuntik ke dalam fikiran saya hingga saya tidak pandai berenang. Tidak tahu berenang tidak sepatutnya berlaku kepada saya kerana saya tinggal di Pulau Pinang, yang dikelilingi laut dan banyak dengan air terjun. Bahkan di hujung kampung saya sendiri pun terdapat sungai.

Apabila memohon kerja dengan pasukan keselamatan di Pelabuhan Klang pada suatu ketika, tentulah soalan ‘sebaik mana awak boleh berenang?’ dilontarkan kepada saya oleh pegawai yang menemuduga.

Nasib baik saya tidak panik. Saya memberitahu, mungkin boleh selamatkan diri kalau kecemasan.

“Nak selamatkan orang lain saya tak mampu,” jawab saya.Mungkin kerana jawapan saya bersahaja dan berterus-terang, yang membuatkan pegawai temuduga ketawa besar, saya dapat kerja itu. Tetapi apabila diarah terjun dalam air di kolam sedalam 13 meter ketika dalam latihan, saya dan ramai lagi rakan sepasukan mulai pucat kerana tidak pandai berenang.

Bagaimanapun, saya terpaksa ikut perintah. Alhamdulillah, saya naik ke tebing tanpa bantuan.

Di negara kita, sebenarnya, hampir selang sehari kita dengar di radio, tonton di televisyen atau baca dalam akhbar dan media sosial mengenai tragedi lemas dalam kalangan rakyat kita.

Kes-kes yang berlaku sangat menyayat hati kita, apa lagi ramai yang menjadi mangsa adalah kanak-kanak, remaja dan anak muda yang kita harap menjadi wira dan harapan kita di masa depan.

Yang terbaru adalah kehilangan enam anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang lemas dalam keadaan  mengejutkan ketika cuba menyelamatkan seorang remaja di sebuah lombong di Puchong, tiga hari lalu.

Kematian keenam-enam anggota yang semuanya masih muda itu dianggap mendapat pahala syahid. Insya-ALLAH!

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menyifatkan keenam-enam pemuda yang mengorbankan nyawa untuk menyelamatkan orang lain sebagai 'insan-insan terpilih dan mempunyai hati yang suci serta amat memahami tanggungjawab dan tugas yang diamanahkan, terutama dalam kecemasan hingga kepada nafas terakhir dan denyut nadi terakhir'.

Moga-moga keluarga mereka terus tabah dan bersabar menerima ujian ALLAH itu. Pemergian mereka dalam keadaan yang sangat menyayat hati itu menerima perhatian banyak pihak, daripada perdana menteri, timbalan perdana menteri, menteri, pemimpin parti pemerintah dan pembangkang, wakil-wakil badan bukan kerajaan hingga ke orang awam mengucapkan takziah kepada keluarga mereka, dan mengadakan tahlil di masjid dan surau.

Apa pun, usaha perlu diteruskan oleh semua pihak berkaitan supaya tragedi seperti ini tidak berulang.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri menunjukkan perhatian beratnya terhadap kes ini dan berharap latihan yang lebih berkesan diadakan agar tragedi begini tidak berlaku lagi.

Kita perlu ambil perhatian mengenai kenyataan dikeluarkan Timbalan Pengarah (Operasi) JBPM, Datuk Soiman Jahid, bahawa jumlah kematian akibat lemas dari awal tahun hingga 21 Februari lalu sudah mencecah 65 orang.

Nahas ini berlaku di pantai, sungai, air terjun, tasik, lombong dan pembetung, walaupun di banyak kawasan sudah ada papan tanda amaran dan bendera merah direntangkan untuk mengingatkan orang ramai supaya menjaga keselamatan.

Sebanyak 260 kes yang direkodkan pada 2016 dan 327 tahun lalu ada jumlah yang sangat tinggi.  Maknanya pada puratanya lebih daripada seorang setiap dua hari.

Pasukan Penyelamat Dasar Laut JBPM dihantar hanya jika mangsa atau mayat tidak dapat ditemui, menunjukkan jumlah mereka yang lemas lebih tinggi daripada yang dicatatkan di sini.

Maka malanglah jika kita, terutama ibu bapa dan penjaga, tidak ambil pusing keselamatan ahli keluarga ketika berada di pantai, sungai, kolam, tasik dan sebagainya.

Anggota Majlis Keselamatan Aktiviti Air (WASC), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, satu suruhanjaya perlu ditubuhkan bagi menyiasat punca kejadian bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

“Kematian akibat lemas boleh dihalang jika semua agensi dan pihak berkuasa tempatan proaktif dan tidak menunggu sehingga tragedi berlaku sebelum mengambil tindakan,” katanya, semalam.          



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment