Lapor terus kesalahan kepada polis, SPRM, SKMM: SPR

Friday, October 5, 2018

Lapor terus kesalahan kepada polis, SPRM, SKMM: SPR

Lapor terus kesalahan kepada polis, SPRM, SKMM: SPR

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menyarankan mana-mana orang awam, badan bukan kerajaan (NGO) atau pihak yang mempunyai maklumat peribadi tentang pelanggaran peruntukan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 supaya membuat laporan terus kepada badan penyiasatan.

Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun berkata, kuasa siasatan mengenai apa-apa tuduhan pelanggaran mana-mana peruntukan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 berada di dalam bidang kuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Menurutnya, SPR tidak mempunyai kuasa siasatan mahupun kuasa pendakwaan kesalahan-kesalahan pilihan raya.

“SPR tidak mempunyai kuasa untuk mendenda atau menyiasat mana-mana calon pilihan raya atau parti yang diwakilinya untuk apa-apa pelanggaran undang-undang pilihan raya terutamanya peruntukan perundangan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

“SPR ingin menyarankan kepada semua pihak yang secara peribadi mempunyai apa-apa maklumat mengenai pelanggaran mana-mana peruntukan di bawah akta tersebut, supaya melaporkan pelanggaran tersebut kepada mana-mana badan penyiasatan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Azhar berkata, SPR menubuhkan Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) bagi memantau proses dan aktiviti berkempen sepanjang pilihan raya bagi PRK Dun Sungai Kandis, Balakong, Seri Setia dan Parlimen Port Dickson.

Menurutnya, sekiranya pihak PP-KPR mengesan atau menyaksikan apa-apa pelanggaran peruntukan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 secara peribadi atau secara langsung, maka pihak SPR tidak akan teragak-agak untuk membuat laporan mengenai pelanggaran tersebut kepada mana-mana badan penyiasatan.

“Bagaimanapun, SPR tidak akan melaporkan mana-mana pelanggaran peruntukan perundangan yang tidak disaksikan dan dikesan secara langsung oleh PP-KPR kerana dalam keadaan sedemikian pihak PP-KPR tidak mempunyai pengetahuan peribadi tentang pelanggaran tersebut,” katanya.

[ARTIKEL BERKAITAN: SPR hasrat PRK PD contoh pilihan raya adil, bersih]



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment