Kesatuan dalam berbeza pandangan

Thursday, October 4, 2018

Kesatuan dalam berbeza pandangan

Kesatuan dalam berbeza pandangan

ALIRAN fikiran fiqh atau mazhab fiqh yang berlainan muncul kerana perbezaan memahami ajaran-ajaran yang terkandung dalam sumber hukum utama iaitu al-Quran dan al-Sunnah yang tidak bersifat definitif atau qatie.

Perbezaan mentafsirkan ‘dalalah al zan’ atau dalil-dalil yang tidak muktamad menyebabkan munculnya perbezaan pandangan ini. Pendekatan berbeza diambil oleh imam-imam juga menyebabkan pandangan yang dikeluarkan itu menjadi berbeza.

Mazhab-mazhab fiqh yang empat iaitu Mazhab Shafie, Hanafi, Hambali dan Maliki menjadi ikutan khalayak awam dalam persoalan-persoalan fiqh.

Sebenarnya perbezaan pandangan yang menjurus kepada pertumbuhan mazhab-mazhab fiqh ini adalah manifestasi keanjalan undang-undang Islam itu sendiri. Namun pertikaian mazhab ini sering kali disalah ertikan oleh masyarakat umum. Ia kadangkala menjadi sumber perpecahan umat Islam. 

Oleh yang demikian perspektif betul dalam menelusuri landskap perbezaan pandangan ini perlu difahami oleh masyarakat Islam. Umat Islam perlu memakai lensa hukum syarak apabila berhadapan dengan perbezaan pandangan ini.

Seharusnya mazhab merupakan institusi pendidikan aliran fiqh bagi mentafsirkan dalil-dalil syariah. Ia merupakan metodologi fiqh untuk mengeluarkan hukum yang mana masih belum disepakati lagi. Pandangan mazhab ini adalah sebahagian daripada syariah Islam bukan syariah Islam itu sebahagian dari pandangan bermazhab.

Asas pandangan aliran fiqh ini sebenarnya adalah bertitik tolak dari keyakinan imam dalam berijtihad. Namun sekiranya terbukti ijtihad tersebut tidak lagi sesuai mengikut keadaan setempat atau semasa dan terdapat dalil yang lebih kuat, maka ijtihad tersebut boleh ditolak.

Hal yang demikian amat jelas kerana tidak disyaratkan oleh mana-mana mazhab mengikut segala ijtihad dalam sesuatu mazhab tetapi harus berpindah ke mazhab lain dalam masalah-masalah tertentu. Walau bagaimanapun ikutan tersebut hendaklah diasaskan kepada dalil-dalil yang menjustifikasikan seseorang itu beralih ke mazhab lain.

Begitu juga ikhtilaf ulama ini tidak wajar dilihat dari perspektif perpecahan dalam kalangan umat Islam tetapi hendaklah dilihat dari lensa keanjalan undang-undang Islam yang membawa kepada dinamiknya hukum syarak itu yang sesuai mengikut tempat dan zaman. Ia juga melambangkan keluasan fakulti pemikiran ulama silam dalam ilmu fiqh yang bersungguh-sungguh menimba khazanah ilmu Islam.

Sebagai seorang peguam syarie saya melihat perbezaan pandangan ini sebagai suatu manifestasi dinamiknya undang-undang Islam. Pelbagai hujah dapat dibangkitkan di mahkamah mengenai isu-isu tertentu tanpa perlu memperlekehkan sesuatu hujah yang berlainan.

Para peguam menyediakan hujahan mereka dengan penuh berhati-hati semasa memilih hujah manakah yang akan dipertahankan. Pandangan mazhab-mazhab ini sebenarnya berfungsi sebagai panduan kepada kita agar tidak tergelincir dari landasan yang sebenar.

Dengan cara ini undang-undang itu dapat dibangunkan dan disesuaikan dengan peredaran zaman. Kecelaruan masyarakat tentang perbezaan pandangan ini berlaku kerana masyarakat awam sendiri mencampuri urusan para ulama dengan mempertikaikan sesuatu pandangan, memilih satu pandangan berbanding yang lain tanpa mempunyai asas-asas ilmu perundangan Islam yang mantap.

Institusi ifta’ atau kefatwaan itu dilihat sebagai milik awam dan tidak diberikan kepada ahlinya. Inilah kesilapan berlaku yang mana masyarakat awam sebahagiannya mendabik dada atas nama teknologi terkini mendakwa mampu memperoleh ilmu agama setanding dengan para ulama.

Mereka juga amat teruja dengan kemampuan fakulti akal dan logik. Malangnya mereka tidak menyedari bahawa hal agama tidak boleh menggunakan neraca akal dan logik semata-mata dalam membuat sesuatu ketetapan.

Dalam konteks undang-undang Islam di Malaysia, keterikatan kepada sesuatu mazhab khususnya mazhab Shafie tidaklah bersifat mutlak.

Tafsiran hukum syarak memberi keutamaan kepada pemakaian pandangan dari mazhab Shafie tetapi pandangan mazhab-mazhab lain juga boleh diambil sekiranya keadaan memerlukan.

Malah undang-undang syariah yang digubal di Malaysia tidak terhad kepada Mazhab Shafie tetapi juga mengambil kira pandangan mazhab lain. Umpamanya Seksyen 53 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam 2003 memperuntukkan 17 keadaan bagi membolehkan mahkamah syariah membubarkan perkahwinan secara fasakh.

Keadaan-keadaan tersebut mengambil kira pandangan pelbagai mazhab kerana Mazhab Shafie hanya memperuntukkan tiga keadaan sahaja untuk pembubaran perkahwinan. Peruntukan undang-undang kita pula tidaklah mengehadkan para hakim terikat dengan satu-satu mazhab sahaja.

Kesimpulannya, mazhab fiqh masih lagi relevan kepada umat Islam. Cuma umat Islam perlu melihat semula perbezaan pandangan ini sebagai suatu bukti keanjalan dan kedinamikan undang-undang Islam . Perbezaan pandangan bukan faktor kekurangan dalam undang-undang Islam sebaliknya perlu dilihat dari kaca mata  yang positif.            
 



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment