Gesa beri perhatian serius untuk atlet OKU

Wednesday, October 10, 2018

Gesa beri perhatian serius untuk atlet OKU

Gesa beri perhatian serius untuk atlet OKU

PETALING JAYA - Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menyeru pihak kerajaan supaya menaikkan insentif kepada atlet kategori orang kurang upaya (OKU).

Malah dalam pertemuan bersama Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sebelum ini, beliau pernah berpesan kepada Menteri Belia dan Sukan itu supaya memberi lebih perhatian kepada atlet OKU.

“Saya ada berpesan tempo hari kepada YB (Yang Berhormat) @syedsaddiq agar memberikan perhatian yang lebih serius kepada atlet OKU Malaysia kerana potensi mereka amat cerah.

“Saya menyeru kepada pihak kerajaan untuk menaikkan insentif kepada mereka dan menambahbaik fasiliti untuk kemudahan sukan bagi OKU di seluruh negara,” katanya menerusi catatan di laman sosial Instagramnya, hari ini.

Zulkifli turut menjadikan juara Sukan Paralimpik Rio, Mohamad Ridzuan Puzi dan Abdul Latif Romly sebagai contoh apabila terus mengharumkan nama negara selepas masing-masing mencipta rekod dunia baharu di Sukan Para Asia 2018 di Jakarta, Selasa.

“Lihatlah apa sejarah yang dicatatkan dalam Para Asia 2018 semalam. Ridzuan Puzi (acara 100m T36 lelaki [cerebral palsy]) dan Latif Romly (acara lompat jauh T20 lelaki (masalah pembelajaran) sudah mencipta rekod baharu dunia.

“Begitu juga tujuh emas yang digondol oleh kontinjen negara di sana. Saya percaya, akan lahir lebih ramai lagi atlet-atlet OKU yang membanggakan negara. Mereka selayaknya dinobatkan sebagai wira-wira negara,” ujar mufti sambil mengucapkan tahniah kepada atlet para di atas kecemerlangan mereka.

Mohamad Ridzuan menampilkan aksi cemerlang dengan catatan 11.87 saat mengatasi catatan 11.90s milik atlet Rusia, Evgenii Shvetsov dalam acara 100m T36 (cereberal palsy) untuk meraih pingat emas.

Abdul Latif mengekalkan penguasaan dalam acara lompat jauh T20 (masalah pembelajaran) selain berjaya melakukan lompatan sejauh 7.64 meter mengatasi catatan 7.60m yang dilakukannya di Sukan Paralimpik Rio, dua tahun lalu.

[ ARTIKEL BERKAITAN: Dua atlet para negara cipta rekod baharu dunia ]

Selain itu, Atlet Siti Noor Lasah meraih pingat emas pertama negara menerusi acara 400m T20, sebelum Nasharuddin Mohamed turut meraih emas bagi acara sama untuk kategori lelaki.

Pelumba basikal para negara, Nur Azlia Mohd Zaid meraih emas bagi acara lebuh raya kategori B, manakala Zuhairie Ahmad Tarmizi meraih emas untuk acara perlumbaan lebuh raya kategori C5 Lelaki.

Selain itu, Malaysia turut meraih emas menerusi Abu Bakar Nyat bagi acara Perseorangan Campuran TPB9 tenpin boling.

 
 
 
 
View this post on Instagram
 
 
 
 
 
 
 
 
 

Saya ada berpesan tempohari kepada YB @syedsaddiq agar memberikan perhatian yang lebih serius kepada atlet OKU Malaysia kerana potensi mereka amat cerah. Lihatlah apa sejarah yang dicatatkan dalam Para Asia 2018 semalam. Ridhuan Puzi (acara 100m T36 lelaki [cerebral palsy]) dan Latif Romly (acara lompat jauh T20 lelaki (masalah pembelajaran) sudah mencipta REKOD BAHARU DUNIA. Begitu juga 7 emas yang digondol oleh kontinjen negara di sana. Saya menyeru kepada pihak kerajaan untuk menaikkan insentif kepada mereka dan menambahbaik fasiliti untuk kemudahan sukan bagi OKU di seluruh negara. Saya percaya, akan lahir lebih ramai lagi atlet-atlet OKU yang membanggakan negara. Mereka selayaknya dinobatkan sebagai wira-wira negara. Tahniah!

A post shared by Mufti Wilayah Persekutuan (@drzulkifli.albakri) on



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment