Bunyi letupan gegarkan Ipoh kekal misteri

Friday, October 5, 2018

Bunyi letupan gegarkan Ipoh kekal misteri

Bunyi letupan gegarkan Ipoh kekal misteri

IPOH â€" Bunyi letupan kuat disusuli gegaran yang dirasai di beberapa kawasan di Ipoh, semalam masih kekal misteri.

Menerusi satu sidang media hari ini, Jabatan Mineral dan Geosains Perak mengesahkan, dentuman yang dirasai antara jam 11.15 pagi hingga 11.30 pagi itu bukan berpunca daripada aktiviti letupan kuari.

Pengarahnya, Datuk Ir Ahmad Zukni Ahmad Khalil berkata, pemeriksaan dan siasatan di kuari-kuari sekitar Ipoh mendapati, tiada sebarang kerja peletupan dijalankan pada tempoh waktu berkenaan.

Menurutnya, berdasarkan surat kelulusan Skim Kuari bagi Kuari-kuari Negeri Perak, kerja peletupan yang dibenarkan adalah bermula jam 12 tengah hari hingga 5 petang sahaja.

“Selaku jabatan yang bertanggungjawab dalam kawal selia aktiviti pengkuarian, kita ambil berat kebimbangan penduduk dan jalankan siasatan serta merta sebaik mendapat aduan insiden ini.

“Bagaimanapun, selepas pemeriksaan kuari sekitar Simpang Pulai, kita dapati insiden berkenaan tiada kena mengena dengan aktiviti peletupan,” katanya.

Beliau berkata, aktiviti pengkuarian di Perak dikawal ketat dan dipantau bersama Pejabat Tanah dan Galian serta polis mengikut Peraturan-Peraturan Kuari Perak 1992.

“Kita kenakan syarat yang begitu ketat terhadap had ledakan dan gegaran yang dibenarkan, jadi sebarang gegaran atau ledakan dalam operasi hanya dirasai di lingkungan kawasan kuari sahaja, tidak mungkin boleh mencapai luar kawasan,” katanya.

Semalam, penduduk di beberapa kawasan di Perak khususnya Ipoh panik seketika apabila mendengar bunyi letupan disusuli gegaran sekitar jam 11 pagi.

Insiden itu tular di media sosial dan ada yang  mendakwa disebabkan proses pemecahan batu di kawasan kuari di Simpang Pulai.

Terdapat juga dakwaan insiden itu disebabkan gempa bumi dan latihan ketenteraan.

Dalam pada itu, Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu meminta orang ramai berhenti berkongsi maklumat yang tidak sahih.

Katanya, penularan maklumat yang tidak dapat ditentukan kesahihannya hanya menimbulkan rasa panik dan menakut-nakutkan rakyat.

“Tiada apa yang perlu dibimbangkan kerana keadaan negeri adalah terkawal, kita akan umumkan sebaik mendapat maklumat yang benar-benar tepat mengenai kejadian ini.

“Jadi saya minta orang ramai  jangan terlalu mudah menularkan berita-berita tidak sahih yang tidak mendapat pengesahan kerajaan, ini hanya akan memberi satu gambaran keadaan negara kita tidak selamat,” katanya.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, pihaknya  masih berusaha mendapatkan maklumat dan pengesahan daripada mana-mana pihak berhubung kejadian itu.

Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MET) mengesahkan bunyi letupan dan gegaran bukan berpunca daripada gempa bumi.

Komandan Akademi Tentera Udara (ATU), Kolonel Abdul Nazar Abdul Hamid juga memaklumkan, tiada sebarang aktiviti latihan menggunakan bahan letupan dijalankan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment