33,000 dijangka keluar mengundi di Pahang

Friday, October 5, 2018

33,000 dijangka keluar mengundi di Pahang

33,000 dijangka keluar mengundi di Pahang

KUANTAN - Seramai kira-kira 33,000 ahli dari 14 cabang PKR terlibat dalam proses memilih kepimpinan parti tersebut bagi negeri pada hari ini.

Ini menjadikan Pahang negeri kelima menjalankan proses memilih kepemimpinan PKR selepas Pulau Pinang, Johor, Kelantan dan Terengganu.

Sebanyak 14 pusat pengundian mengikut cabang parti berkenaan disediakan yang dibuka mulai 10 pagi hingga 5 petang ini bagi ahli menentukan pilihan mereka yang dijangka kurang 50 peratus ahli PKR akan menunaikan tanggungjawab mereka keluar mengundi.

Mereka akan memilih pemimpin untuk mengisi jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) iaitu timbalan presiden, naib presiden, ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), ketua wanita dan ahli jawatankuasa MPP.

Tumpuan pastinya siapa menjadi pilihan ahli PKR Pahang untuk memilih regu Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai timbalan presiden parti itu sama ada mengekalkan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali atau Rafizi Ramli.

Keputusan melibatkan empat negeri sehingga semalam menyaksikan saingan sengit yang mana Mohamed Azmin dikatakan mendahului Rafizi dengan jumlah undi yang tipis.

Dalam pada itu, dua Ahli Parlimen yang berstatus menteri dan timbalan menteri di negeri ini iaitu Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Saifuddin Abdullah yang juga Menteri Luar menawarkan diri sebagai calon ahli jawatankuasa MPP dan Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri sebagai calon Ketua Wanita PKR.

Bagi pemilihan peringkat cabang, ahli PKR akan memilih ketua cabang, timbalan ketua cabang, naib ketua cabang dan 15 ahli jawatankuasa cabang serta memilih barisan kepemimpinan AMK cabang dan wanita cabang.

Sebelum pusat pengundian dibuka, enam daripada 14 calon ketua cabang PKR sudah menang tanpa bertanding iaitu Cabang Kuantan, Indera Mahkota, Pekan, Kuala Krau, Rompin dan Cameron Highlands.

Sementara itu, bagi memastikan kelancaran sepanjang proses pemilihan berkenaan, PKR Pahang mendapatkan bantuan polis untuk kawalan keselamatan.

Keputusan pengundian dijangka diketahui seawal pukul 6 petang dan dimaklumkan di pusat mengundi setiap cabang selain maklumat terkini keputusan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dipaparkan di portal www.pemilihankeadilan2018.com dari semasa ke semasa.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment