Yeop ke suku akhir
KUALA TERENGGANU รข" Perak mengesahkan slot ke suku akhir Piala Malaysia 2018 apabila menewaskan Terengganu (TFC) 2-1 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam tadi.
Penyerang import Perak, Gilmar da Silva muncul wira skuad The Bos Gaurus itu apabila menjaringkan dua gol di setiap babak bagi mengesahkan kemaraan.
Keputusan itu bagaimanapun tidak menjejaskan kedudukan TFC yang mengesahkan kemaraan ke suku akhir lebih awal.
Kedua-dua pasukan bermula baik dengan mengasak ke gawang lawan masing-masing sebaik wisel permulaan dalam usaha membuka jaringan.
Namun, Perak lebih dahulu mengejutkan tuan rumah apabila membuka jaringan menerusi penyerang import , Gilmar da Silva pada minit ke-21.
Tersentak dengan jaringan berkenaan, kesebelasan TFC dilihat cuba bangkit dengan mengatur serangan ke gawang pelawat bagi menyamakan kedudukan.
Bagaimanapun, semua asakan berkenaan gagal menepati sasaran selain berjaya dikekang benteng pertahanan Perak sehingga tamat babak pertama.
Babak kedua meyaksikan TFC mula menggandakan asakan ke gawang Perak bagi memburu jaringan penyamaan.
Hasilnya, Ashaari Shamsuddin berjaya memanfaatkan peluang di depan gawang pelawat dengan merembat deras untuk gol penyamaan pada minit ke-65.
Gol berkenaan dilihat mula menyemarakkan semangat TFC untuk terus mengasak ke gawang Perak bagi menambah jaringan.
Namun, hasil satu sepakan sudut, penyerang import Perak, Gilmar da Silva pantas menyambar peluang terhidang bagi menjaringkan gol kedua Perak pada minit ke-86.
Kesebelasan TFC kemudiannya dilihat cuba mengasak ke gawang pelawat pada penghujung perlawanan untuk sekali lagi menyamakan kedudukan, namun ia dilihat sudah terlalu lewat untuk mengesahkan kemenangan Perak.
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment