Timbunan tanah busuk, berulat

Thursday, September 27, 2018

Timbunan tanah busuk, berulat

Timbunan tanah busuk, berulat

KAMPUNG SERI SENTOSA - Lebih 20 keluarga menanggung derita apabila terpaksa hidu bau busuk dan tanah berulat sejak tiga tahun lalu berikutan tanah persendirian dijadikan tempat pembuangan sampah haram.

Lebih dikesalkan, isu yang dipanjangkan kepada pihak berwajib sejak Mei lalu itu bagaikan tiada jalan penyelesaian sehinggakan kawasan pelupusan sampah haram semakin hari semakin luas.

Pengadu, A Kesavan, 45, berkata, kawasan pelupusan sampah haram di tepi jalan besar itu semakin luas dengan trip lebih 60 lori muatan sisa makanan, batu dan kayu yang keluar masuk setiap hari.

Pengadu kena ugut

Menurutnya, masalah itu menyebabkan penduduk setempat tidak lena tidur dengan gangguan bau selain berdepan risiko kesihatan dengan air sisa sampah mengalir ke kawasan penempatan mereka.

“Bila saya mengadu, nama dan gambar saya pula diberi kepada pemilik sampai kena ugut sedangkan sepatutnya nama pengadu kena dirahsiakan demi keselamatan.

“Sepatutnya pihak berwajib kena pantau dan bagaimana tanah untuk tapak rumah dijadikan tapak pelupusan sampah dengan bau busuk, tanah berulat dan air kotor bertakung,” katanya.

Katanya, penduduk hairan apabila tanah milik persendirian di kawasan tadahan banjir itu boleh dijadikan tempat pelupusan sampah haram dengan jarak hanya lebih kurang 500 meter daripada rumahnya.

“Tak akan penguatkuasa tak nampak tapak pelupusan sampah berleluasa di kawasan ini? Hari-hari lori sampah keluar masuk tak ada pun mereka sita atau kompaun.

“Lagi teruk, penduduk yang mengadu jadi mangsa ugutan. Pemilik tanah itu bukannya duduk sini dan tak menanggung masalah ini sebaliknya kami yang terpaksa hadap semuanya,” katanya.

Air sisa sampah melimpah   Seorang lagi pengadu, M Vengaiah, 58, juga tidak sanggup berdepan bau busuk dengan air sampah mengalir masuk ke kawasan rumahnya setiap kali hujan lebat.

Air sampah masuk rumah

“Kawasan rumah saya memang lebih rendah dari kawasan pelupusan sampah haram itu dan bila hujan lebat, air sungai melimpah masuk ke kawasan rumah kami dengan bau busuk.

“Sudahlah bau busuk dan berulat, sistem bekalan air bersih pun terjejas disebabkan lori muatan berat keluar masuk ke kawasan itu. Macam mana kami nak tanggung semua ini?   “Saya risau kesihatan anak cucu terjejas sebab ada jaga lima anak orang...keadaan kotor dan berbau seperti ini memang tak sanggup lagi nak hadap hari-hari,” katanya.

Vengaiah berkata, keluarganya juga tidak membenarkan lori muatan sampah melalui kawasan rumahnya untuk membuang di kawasan berhampiran sungai terbabit.

“Dulu mereka mahu lalu tanah saya tapi tak bagi sebab bau busuk. Sekarang ni mereka lalu sebelah sana kerana ada laluan khas disediakan dengan kadar caj tertentu.

“Mungkin sebab itu, pemandu lori-lori itu sesuka hati keluar masuk untuk membuang sampah di sini kerana mungkin caj yang dikenakan lebih rendah,” katanya.

Bukan mereka sahaja yang terpaksa menanggung derita, pemilik tanah berhampiran juga dikatakan berdepan isu pencerobohan kawasan disebabkan limpahan sampah haram.

Dakwa mereka, sampah yang dibuang kebanyakan sisa buangan pasaraya yang sudah tamat tempoh selain sampah domestik yang dikatakan datang dari Sungai Buloh, Kepong.

Wajar tutup serta merta   

Aduan sama turut dipanjangkan kepada Adun Jeram, Shaid Mohd Rosli dan kunjungan terus ke tapak pelupusan sampah bersama penguatkuasa pentadbir tanah dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Tegasnya, isu ini perlu diberikan perhatian pihak berwajib dan sewajarnya kawasan itu ditutup serta merta dengan tindakan penguatkuasaan berikutan menjalankan aktiviti haram.

“Saya difahamkan, setiap trip yang membawa masuk muatan sampah kena bayar dalam RM30 sehingga RM50 ikut muatan yang dibawa...umpama laluan tol untuk benarkan lori sampah keluar masuk.

“Jadi mereka ini memberi alasan kata nak tambak tanah untuk buat rumah tapi yang dibuang di sini bukannya tanah atau batuan tapi sisa sampah sarap. Boleh kaut untung atas angin untuk caj lori keluar masuk,” katanya.

Katanya, pihaknya turut meminta pihak berkaitan supaya mengambil tindakan mengikut bidang kuasa masing-masing bagi menyelesaikan isu yang sudah berlarutan sebelum pilihan raya lagi.

“Sebelum ini masa kempen, saya datang berjumpa dengan penduduk dan berkongsi masalah ini. Jadi, selepas diberi mandat, saya mahu menunaikan janji menyelesaikan isu ini.

“Sebab itu, saya panggil pihak yang terlibat untuk berbincang namun ada juga yang memberi alasan jauh dan sibuk untuk duduk semeja. Jika jauh atau tak cukup kakitangan, minta tubuhkan satu di Kuala Selangor.

“Pihak pentadbir tanah sudah beri penjelasan berdasar prosedur yang diambil manakala Majlis Daerah Kuala Selangor  boleh sita lori keluar masuk,” katanya.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment