Pagar premis dikunci elak diperiksa penguatkuasa

Thursday, September 27, 2018

Pagar premis dikunci elak diperiksa penguatkuasa

Pagar premis dikunci elak diperiksa penguatkuasa

BUKIT MERTAJAM - Sepasukan penguatkuasa Jabatan Imigresen Pulau Pinang terpaksa memanjat pagar sebuah premis kilang memproses bahan kitar semula di Juru Estate,Bukit Tambun di sini selepas 'penghuni' didalam premis berkenaan enggan memberikan kerjasama untuk pemeriksaan dilakukan.

Dalam serbuan yang dilakukan kira-kira jam 9.30 pagi itu, seramai 15 pekerja termasuk seorang penyelia yang berada didalam premis berkenaan hanya mendiamkan diri sebaik anggota penguatkuasa mengetuk pintu utama kilang terbabit untuk melakukan pemeriksaan.

Timbalan Penolong Pengarah Jabatan Imigresen Pulau Pinang, Izham Idris berkata, walaupun berkali-kali anggota penguatkuasa mengarahkan mereka untuk membuka premis berkenaan namun mereka tidak mengendahkan arahan dan cuba bersembunyi didalam premis berkenaan.

"Menerusi risikan dan pemantauan yang dilakukan sebelum ini, kita dapati ada sekumpulan warga asing yang bekerja didalam premis berkenaan dan mereka sengaja mengunci pintu dari dalam.

"Disebabkan mereka enggan memberikan kerjasama, beberapa anggota kita terpaksa memanjat pagar sebelum menemui mereka yang sedang cuba menyorok dibelakang timbunan bahan kitar semula kerana mengelak daripada dikesan,"katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Izham berkata, pemeriksaan lanjut yang dilakukan terhadap kesemua pekerja didalam premis berkenaan mendapati hampir kesemua mereka tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah selain tinggal melebihi masa yang dibenarkan dan menyalahgunakan pas lawatan kerja.

Katanya, 14 pekerja asing yang ditahan itu terdiri daripada dua perempuan dan tujuh lelaki warga China,empat lelaki warga Bangladesh dan seorang lelaki warga Myanmar.

Antara warga asing yang ditahan dalam Ops Ikrar yang dilakukan Jabatan Imigresen, semalam.

Sementara itu dalam satu lagi serbuan di sebuah gudang menyimpan sayur di Lebuh Keranji, Taman Mutiara di sini, pihaknya menahan 11 pekerja asing warga Myanmar termasuk dua perempuan yang bekerja di premis berkenaan atas kesalahan yang sama.

Izham berkata, walaupun sebelum ini kerajaan telah menjalankan program pengampunan dan penempatan semula pekerja asing namun masih ada lagi majikan yang berani menggajikan pekerja warga asing yang tidak mengikut undang-undang negara.

Katanya, disebabkan itu dua pemilik premis berkenaan dikeluarkan saman untuk hadir ke pejabat Imigresen bagi memberi keterangan mengenai tindakan mereka menggajikan pekerja warga asing yang bercanggah dengan peraturan Imigresen.

"Kesemua mereka yang ditahan berusia diantara 20 hingga 45 tahun itu dibawa ke Ibu Pejabat Imigresen Seberang Jaya untuk proses dokumentasi sebelum dihantar ke depoh tahanan warga asing di Juru.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah,Seksyen 15 (1)(c) akta yang sama kerana tinggal di negera ini melebihi masa yang dibenarkan dan Peraturan 39 (b) Peraturan-Peratuan Imigresen 1963 kerana salah guna pas lawatan.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment