'Hanya mampu hidang mi segera'

Sunday, September 23, 2018

'Hanya mampu hidang mi segera'

'Hanya mampu hidang mi segera'

MELAKA TENGAH - "Anak-anak sering berlapar, tetapi jika ada duit sikit hanya mampu hidang mi segera dan biskut," demikian luahan seorang ibu yang mengidap penyakit talasemia bersama enam anak selepas berpisah dengan suami kira-kira enam bulan lalu.

Norlizah Abd Nazer, 32, berkata, kehidupannya kini terumbang ambing, langsung tiada sumber pendapatan dan hanya bergantung kepada bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Agama Islam Melaka (Maim) untuk meneruskan kehidupan.

Menurutnya, dia bersama anak-anak yang berusia dari tiga hingga 10 tahun hanya mampu menyewa sebuah bilik kecil di atas sebuah rumah kedai di Bukit Rambai di sini dengan nilai sewaan RM300 sebulan.

"Saya dapat bantuan dari JKM RM450 sebulan manakala Maim beri bantuan makanan bulanan RM200 sebulan dan daripada duit itulah saya bayar sewa bilik, selebihnya saya beli makanan tetapi kena jimat, kalau mi segera sebungkus RM4 lebih dapatlah makan ramai-ramai dengan anak.

"Empat orang anak saya sudah bersekolah, kalau nak berjimat saya hanya makan sekali sahaja sehari, kalau anak-anak mengadu lapar, saya hanya diamkan diri sahaja," katanya.

Menceritakan bagaimana dia boleh mengidap talasemia, Norlizah berkata, semuanya berlaku selepas dia menjalani pemindahan darah di hospital sewaktu melahirkan anak kelima, lima tahun lalu.

"Sejak dari itu, saya selalu pitam dan pening kepala serta terpaksa menjalani rawatan secara berjadual di Hospital Melaka," katanya.

Norlizah ditemui sewaktu 'Program Masih Ada Yang Sayang' anjuran Hotel Ramada Plaza Melaka bersama Koperasi Persatuan Ibu Tunggal Melaka (KoPrestij) di bilik sewanya di Bukit Rambai di sini.

Ia diketuai Pengurus Besar Ramada Plaza Melaka, Klaus Sennik dan Penasihat Koprestij, Amir Hamzah Aziz.

Turut sama, Pengarah Pemasaran dan Jualan, Ramada Plaza Melaka, Nurashiken Zainal dan Pengerusi KoPrestij, Maznah Ibrahim.

Menurut Klaus Sennik, Program Masih Ada Yang Sayang adalah program sulung sebagai tanggung jawab sosial korporat (CSR) Ramada Plaza Melaka dan ia akan diteruskan pada masa akan datang.

"Saya benar-benar tersentuh hati dengan nasib wanita ini bersama anak-anaknya yang sering kekurangan makanan sedangkan kami di hotel selalu melihat banyak makanan terbuang. Ia benar-benar memberi keinsafan kepada yang menyertai program hari ini," katanya.

Selain barangan makanan dan barangan keperluan harian Norlizah turut menerima sumbangan wang tunai dari kedua-dua pihak.

Selain itu, berita gembira buat keluarga berkenaan apabila kerajaan negeri bersetuju untuk menempatkan mereka di Rumah Pangsa Padang Jambu di bawah jagaan Maim.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment