Peniaga masuk perangkap sindiket Macau Scam
KUALA TERENGGANU - Terkedu selepas dimaklumkan memiliki waran tangkap kerana melakukan transaksi duit haram, seorang peniaga sanggup melakukan apa sahaja sehingga bersetuju membuat pembayaran RM2,000 ke dalam akaun bank individu tidak dikenali, pada Khamis lalu.
Akibat tindakan berkenaan, lelaki berusia 32 tahun itu akhirnya terpaksa gigit jari selepas menjadi mangsa penipuan sindiket macau scam.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Idris Abd Rafar berkata, kejadian berlaku selepas mangsa yang ketika itu berada di sebuah kedai makan di Marang, ada menerima panggilan daripada individu memperkenalkan diri sebagai 'Puan Maria'.
"Individu itu memberitahu dia dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum memaklumkan mangsa dikesan ada membuka akaun sebuah bank di Sabah bertujuan membuat transaksi duit haram berjumlah RM3.4 juta.
"Seterusnya panggilan mangsa disambungkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bukit Aman sebelum diminta bercakap dengan seorang anggota polis untuk membuat laporan penafian secara dalam talian," katanya ketika dihubungi.
Idris berkata, mangsa kemudian dimaklumkan mempunyai satu waran tangkap kerana melakukan jenayah transaksi duit haram tersebut.
"Bagaimanapun, 'anggota polis' terlibat memberitahu mangsa masih boleh menbatalkan waran tangkap tersebut tetapi dengan syarat perlu membuat pembayaran RM2,000 ke dalam akaun bank diberikan.
"Tanpa berfikir panjang, mangsa terus bersetuju dan membuat pembayaran seperti diarahkan sebelum menyedari dirinya sudah ditipu," katanya.
Jelas Idris, yakin dia terperangkap dalam satu sindiket penipuan macau scam, mangsa nekad membuat laporan polis untuk tindakan susulan.
Kes berkenaan kini disiasat mengikut Seskyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment