Perumahan agenda utama calon BN Parlimen Alor Setar
ALOR SETAR: Meningkatkan keselesaan penghuni rumah flat adalah antara manifesto calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Alor Setar, Datuk Yoo Wei How, jika diberi mandat pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei ini.
Wei How berkata, beliau mendapati banyak penempatan flat dalam parlimen yang ditandinginya memerlukan perhatian khusus bagi memastikan keselesaan rakyat dapat diperbaiki.
Katanya, sebuah jawatankuasa khas akan ditubuhkan membabitkan pelbagai pihak berkepentingan, sekali gus menjayakan usaha memperkasakan penempatan flat sekiranya beliau diberi mandat oleh pengundi di parlimen itu.
"Apabila menjadi Ahli Parlimen, sudah pasti saya mempunyai akses yang mudah untuk mendapatkan nasihat, bantuan dan mungkin peruntukkan khas dari kerajaan negeri dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) malah mempunyai peruntukkan sepanjang lima tahun.
"Tempoh lima tahun membolehkan saya menyelesaikan semua isu yang berbangkit kerana setiap flat mempunyai masalah berbeza yang memerlukan pendekatan tertentu. Sudah pastinya, ia akan memerlukan kerjasama semua pihak dan komuniti setempat.
"Masalah yang timbul tidak sama... ada yang mengalami masalah kumbahan, sampah sarap, bangunan uzur, sistem pendawaian, pengairan dan pengurusan... apabila adanya jawatankuasa yang dipengerusikan saya sendiri... semua masalah itu pastinya dapat diselesaikan dalam tempoh sepenggal," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perjumpaan Santai dengan penduduk Flet Sri Gemilang di sini malam tadi.
Mengulas lanjut, Wei How berkata, pihaknya berharap rakyat membuat pilihan yang bijak kerana memilih pihak luar sebagai wakil memberi kesan negatif seperti lima tahun kebelakangan ini.
"Pemimpin luar tidak dapat membantu tetapi apabila memilih pemimpin dari Barisan Nasional (BN) dan ia datang dari sini, sudah pasti masalah setempat dapat diatasi malah pelbagai pembangunan dapat dilakukan kerana menerima peruntukkan dari Kerajaan Persekutuan.
"Kami mahu menang, bukan untuk kepentingan peribadi dan parti tetapi untuk masa depan rakyat yang lebih terjamin. Pembangunan dan kehidupan selesa hanya dapat dinikmati apabila BN menerima sokongan padu menjadi kerajaan yang kukuh," katanya.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment