Zizie berkampung di Kinabatangan bantu kempen Bung
KINABATANGAN: "Saya akan berkampung di sini (Kinabatangan) untuk membantu suami berkempen," kata pelakon popular, Zizie Ezette yang ditemui di pusat penamaan calon di Dewan Sri Lamag di sini, hari ini.
Kehadiran isteri calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin itu mencuri tumpuan penyokong parti bertandin'g selain ramai yang mengambil peluang untuk bergambar.
Seawal jam 9 pagi tadi lagi Zizie turun padang bersorak bersama penyokong BN dengan laungan 'Tatap BN' ketika Bung Moktar yang juga Ketua UMNO Bahagian Kinabatangan bersama calon lain dari BN tiba di pusat penamaan calon.
Zizie berkata, meskipun dia kini mempunyai masa terhad kerana menjaga anak kembar, ia bukan halangan memberi sokongan kepada suaminya sepanjang tempoh berkempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
"Saya akan terus memberikan sokongan padu kepada suami. Saya akan berkampung di sini untuk menemaninya dan membantu beliau berkempen.
"Ia tidak berubah seperti lima tahun lalu. Walaupun kini saya menjaga anak kembar, Insya-Allah itu tidak menghalang saya untuk berkempen bersamanya," katanya.
Zizie berkata, dia akan menyertai rombongan iparnya untuk berkempen dari kampung ke kampung bagi mendekati rakyat, khususnya di Kinabatangan.
"Sebagai seorang isteri juga, tentu saya mengharapkan kemenangan berpihak kepada suami," katanya yang menyifatkan kerajaan BN banyak membantu dalam meningkatkan lagi tahap industri seni tanah air.
Pada PRU-14 ini, Bung Moktar yang juga Pengerusi FELCRA Berhad menghadapi dua pencabar iaitu calon Parti Harapan Rakyat Sabah (HARAPAN RAKYAT), Mustapa Tambuyong dan calon Parti Warisan Sabah (WARISAN), MA Ghazali Abdul Ghani.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment