Sabah kemuka 338 calon
KOTA KINABALU: Hanya tiga kerusi, masing-masing satu Parlimen dan dua Dewan Undangan Negeri (DUN) di Sabah menyaksikan pertandingan satu lawan satu, manakala baki 83 kerusi, termasuk 24 Parlimen membabitkan pertembungan lebih daripada tiga calon.
Satu daripada kerusi terbabit ialah DUN Senallang yang menyaksikan pertembungan dua sepupu iaitu pemangku Ketua UMNO Semporna, Datuk Seri Nasir Sakaran dan Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN) yang juga bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Dua lagi ialah DUN Elopura dan Parlimen Sandakan, masing-masing pertembungan antara calon BN dengan DAP.
Persaingan paling ramai ialah tujuh penjuru di DUN Merotai, manakala lapan kerusi menyaksikan pertandingan enam penjuru masing-masing dua di Parlimen dan enam DUN.
Keseluruhannya, seramai 338 calon termasuk lima calon bertanding di dua kerusi (Parlimen dan DUN) mengemukakan pencalonan masing-masing pada hari penamaan calon Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dengan 85 calon daripada Barisan Nasional (BN), manakala 253 calon pembangkang termasuk 13 Bebas.
Ketua Menteri merangkap Pengerusi BN Sabah, Tan Sri Musa Aman, yang akan mempertahankan kerusi DUN Sungai Sibuga, berdepan dua calon pembangkang iaitu daripada WARISAN dan Parti Kebangsaan Sabah (PKS) dalam persaingan tiga penjuru.
Presiden PBS yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan yang mempertahankan kerusi DUN Tambunan berdepan saingan empat penjuru dengan adiknya, Datuk Dr Jeffrey Kitingan (STAR); adik ipar, Justin Alip (WARISAN) dan seorang calon Parti Cinta Sabah (PCS).
Pemangku Presiden Pertubuhan Pasok Momogun Kadazan Dusun Murut Bersatu (UPKO), Datuk Seri Madius Tangau yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi yang mempertahankan kerusi Parlimen Tuaran dan Presiden LDP, Datuk Teo Chee Kang yang mempertahankan DUN Tanjung Kapor, masing-masing berdepan saingan lima penjuru.
Menteri Luar yang juga Ketua UMNO Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman berdepan tentangan bekas timbalannya, Datuk Karim Bujang dalam persaingan tiga penjuru di Parlimen Kimanis dengan seorang lagi calon iaitu Jaafar Ismail (HARAPAN RAKYAT).
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment