Pembangkang gagal di Parlimen Temerloh - Mohd Sharkar

Saturday, April 28, 2018

Pembangkang gagal di Parlimen Temerloh - Mohd Sharkar

Pembangkang gagal di Parlimen Temerloh - Mohd Sharkar

TEMERLOH: Komitmen Barisan Nasional (BN) yang tidak pernah meminggirkan rakyat di Parlimen Temerloh perlu menjadi panduan kepada pengundi di kawasan itu membuat pertimbangan terbaik apabila keluar mengundi pada 9 Mei ini.

Calon BN bagi Parlimen Temerloh, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin, berkata BN mempunyai rekod terbaik dalam memberikan perkhidmatan kepada rakyat tanpa mengira masa atau keadaan sejak selepas negara mencapai kemerdekaan.

"Kita tidak pernah meminggirkan rakyat walaupun Parlimen Temerloh dan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Semantan serta Mentakab sebelum ini diwakili pembangkang...saya yakin rakyat akan mengingatinya.

"Kita harap rakyat dapat membuat penilaian yang jujur dan baik berdasarkan perkhidmatan terbaik diberikan oleh BN.

"Sudah tiba masanya untuk rakyat di Parlimen Temerloh dan DUN Kuala Semantan serta Mentakab kembali menyokong BN selain mengekalkan kerusi DUN Lanchang," katanya ditemui media selepas majlis penamaan calon Parlimen Temerloh dan tiga kawasan DUN di bawahnya di Dewan Tun Razak di sini, hari ini.

Mohd Sharkar yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO berdepan Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (PAN), Anuar Tahir yang bertanding atas tiket PKR; Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang, Md Jusoh Darus (PAS) dan dua calon bebas, Fakhrudin Abu Hanifah serta bekas wartawan TV3, Khaidir Ahmad.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan menang dengan majoriti 1,070 undi di Parlimen Temerloh, tetapi kali ini tidak mempertahankan kerusi berkenaan sebaliknya bertanding di Parlimen Indera Mahkota.

Parlimen Temerloh mempunyai seramai 75,621 pengundi dengan pecahan 67.07 peratus (Melayu), 22.52 peratus (Cina), 8.17 peratus (India) dan 2.25 peratus (lain-lain).

Bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lanchang, Mohd Sharkar yang juga penyandang kawasan itu berdepan tiga calon iaitu Khaidir, Hasan Omar (PAS) dan Abas Awang (PKR).

Mengulas lanjut, Mohd Sharkar berkata, BN mempunyai perancangan besar untuk memajukan daerah Temerloh terletak di titik tengah Semenanjung yang mempunyai potensi besar untuk dibangunkan.

"Kerajaan kini merancang menyediakan pelbagai infrastruktur di Temerloh termasuk projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), kita perlu ada wakil kerajaan yang kuat," katanya.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment