Imigresen sekat 50,000 dikhuatiri ancam keselamatan
PUTRAJAYA: Lebih 50,000 warga asing dikenakan perintah larangan masuk ke Malaysia sepanjang tahun lalu kerana dicurigai boleh mengancam keselamatan dan kedaulatan negara.
Majoriti mereka yang dikenakan larangan itu membabitkan warga Indonesia, India, China, Bangladesh, Vietnam dan Myanmar.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali, berkata larangan berkenaan dikeluarkan Jabatan Imigresen menerusi Notis Tolak Kemasukan (NTL) yang diperuntukkan mengikut Seksyen 8 Akta Imigresen 1959/63.
Setakat Januari lalu pula, katanya, sejumlah 8,693 rakyat asing termasuk dari beberapa negara Asia Barat dan Afrika turut dikenakan perintah sama.
Tiba di pintu masuk
"Mereka dikenakan larangan itu ketika tiba di pintu masuk utama negara melalui jalan darat dan laut, terutama di Selangor dan Johor," katanya pada temu bual eksklusif bersama BH di pejabatnya, di sini, semalam.
Beliau berkata, rata-rata warga asing yang dilarang masuk, memberi pelbagai alasan kehadiran mereka ke negara ini terutama untuk belajar dan bekerja, namun gagal mengemukakan bukti sokongan.
Contoh lain, katanya, ada warga asing memaklumkan tujuan kehadiran mereka adalah untuk melawat ahli keluarga, tetapi gagal memberi bukti seperti alamat dan nombor telefon ahli keluarga yang didakwa berada di sini.
Mustafar berkata, antara sebab utama NTL dikenakan adalah untuk menghalang kemungkinan ancaman keganasan, jenayah, penyeludupan serta bekerja secara haram.
Tindakan tegas
"Mereka juga dilarang masuk kerana disyaki boleh menjejaskan ketenteraman awam seperti menyebarkan fahaman salah," katanya.
Beliau berkata, ada peningkatan jumlah warga asing yang dikenakan perintah berkenaan berbanding lebih 40,000 pada tahun sebelumnya berikutan penelitian agresif pegawai imigresen yang bertugas di pintu masuk negara ini.
Tindakan tegas itu, katanya, bukan bertujuan menyekat kehadiran warga asing ke Malaysia, sebaliknya sebagai langkah berjaga-jaga dalam mempertahankan keamanan dan kedaulatan negara.
"Kita memang mengalu-alukan pelancong ke negara ini tetapi hanya yang tulen diterima masuk. Jika kehadiran mereka dicurigai, kami tiada pilihan kecuali menghantar mereka pulang dengan kos ditanggung sepenuhnya oleh syarikat penerbangan atau feri dinaiki mereka untuk ke negara ini.
"Bagi kami di Jabatan Imigresen, keselamatan rakyat negara kita adalah yang lebih utama," katanya.
Beliau berkata, jabatan berkenaan turut bekerjasama dengan kedutaan asing supaya memastikan rakyat mereka mematuhi peraturan dan undang-undang jika mahu masuk Malaysia.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment