Elak bangkai anjing, lelaki maut dirempuh kereta
BAGAN SERAI: Malang seorang lelaki apabila maut dirempuh kenderaan lain selepas terjatuh dari motosikalnya ketika cuba mengelak bangkai seekor anjing di Kilometer 116, Jalan Ipoh-Butterworth, berhampiran Sungai Rawa di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob, berkata dalam kejadian diterima polis pada jam 10.48 malam, mangsa Mohd Fadzil Saidin, 30, maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah yang dialami.
Menurutnya, ketika kejadian mangsa yang berasal dari Taman Serai Jaya di sini, menunggang motosikal jenis Honda EX5 dalam perjalanan dari Bagan Serai menghala ke Parit Buntar.
"Siasatan awal mendapati mangsa dikatakan mengelak bangkai anjing di lorong kiri jalan lalu terbabas dan terjatuh di tengah jalan.
"Dalam masa yang sama sebuah kereta jenis Toyota Vios dipandu seorang pegawai perubatan berusia 33 tahun dari sebuah klinik kesihatan di sini yang datang dari arah sama, gagal mengelak lalu melanggar mangsa.
"Akibat pelanggaran itu, mangsa disahkan maut oleh pasukan paramedik yang tiba dan mayatnya dibawa ke Hospital Parit Buntar untuk dibedah siasat," katanya, hari ini.
Omar Bakhtiar berkata, kes disiasat dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Tambahnya lagi dalam kejadian itu mangsa difahamkan dalam perjalanan menuju ke tempat kerjanya di sebuah kilang di Nibong Tebal, Pulau Pinang.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment