PM bukan penjawat awam, permohonan Mahathir ditolak

Monday, February 26, 2018

PM bukan penjawat awam, permohonan Mahathir ditolak

PM bukan penjawat awam, permohonan Mahathir ditolak

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini, menolak permohonan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan bagi mendapatkan kebenaran merayu dalam kes samannya yang mendakwa Perdana Menteri, melakukan perbuatan salah laku dalam jawatan awam dan pentadbiran membabitkan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Panel tiga hakim yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara Tun Raus Sharif dalam keputusan sebulat suara bersetuju dan menerima keputusan Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi sebelum ini yang memutuskan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bukan penjawat awam.

Mahkamah memerintahkan Mahathir dan Khairuddin membayar kos sebanyak RM20,000 kepada Najib.

Turut bersidang adalah Hakim Tan Sri Aziah Ali dan Tan Sri Balia Yusof Wahi.

Terdahulu, peguam Mohd Haniff Khatri Abdulla yang mewakili Mahathir dan Khairuddin memohon kes itu ditangguhkan kerana mahu menarik diri daripada mewakili pengasas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Anina Saadudin.

Bagaimanapun, mahkamah menolak permohonan itu dan menetapkan 16 April depan untuk mendengar kes Anina.

Perdana Menteri diwakili peguam Tan Sri Cecil Abraham dan Datuk Mohd Hafarizam Harun.

Pada 30 Ogos 2017, Mahkamah Rayuan menolak rayuan ketiga-tiga mereka dan bersetuju dengan keputusan Mahkamah Tinggi bahawa Najib bukan penjawat awam.

Sebelum itu, pada 28 April 2017, Najib berjaya membatalkan saman dikemukakan ketiga-tiga mereka terhadapnya berhubung dakwaan melakukan perbuatan salah laku dalam jawatan awam dan pentadbiran membabitkan kes 1MDB.

Mahkamah membatalkan kes itu apabila mendapati tuntutan saman itu tidak boleh dipertahankan dan selepas mendapati Perdana Menteri, Menteri, Timbalan Menteri dan Setiausaha Politik bukan penjawat awam mengikut takrifan Artikel 160(2) Persekutuan, sebaliknya ahli pentadbiran.

Melalui pernyataan tuntutan difailkan 23 Mac tahun lalu, ketiga-tiga plaintif mendakwa Najib sengaja mengganggu siasatan dakwaan mengenai 1MDB dan syarikat berkaitan serta siasatan aliran masuk wang RM2.6 bilion dan RM42 juta daripada SRC International ke dalam akaun peribadinya.

Mereka mendakwa Najib melakukan tindakan dan langkah tindasan sehingga menyebabkan beliau dapat mengelak daripada berdepan kesan dan akibat di sisi undang-undang atas segala dakwaan salah laku atau perbuatan jenayah.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment