53 anggota DAESH dari Malaysia masih di Syria

Tuesday, February 27, 2018

53 anggota DAESH dari Malaysia masih di Syria

53 anggota DAESH dari Malaysia masih di Syria

KUALA LUMPUR: Terdapat sekurang-kurangnya 53 rakyat Malaysia dipercayai menjadi anggota DAESH masih berada di Syria, selepas pasukan tentera tempatan dan Amerika Syarikat, berusaha melumpuhkan kumpulan pengganas itu.

Sumber perisikan berkata, jumlah itu membabitkan 24 lelaki, 12 wanita serta 17 kanak-kanak yang status terkini mereka masih belum dapat dipastikan.

Selain itu, 37 rakyat negara ini direkodkan terbunuh di Syria, sejak DAESH menguasai beberapa kawasan di sana pada awal 2011 serta terbabit dalam beberapa pertempuran dan serangan bom.

Kelmarin, sebuah pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa mendakwa seorang wanita Malaysia adalah antara 16 wanita dari ASEAN yang ditahan selepas menyertai DAESH di Syria.

Dakwaan itu turut dikaitkan dengan laporan akhbar di Jerman, 'Die Weld' yang menyatakan hampir 800 wanita asing dan kanak-kanak dipercayai anggota DAESH ditahan oleh tentera Kurdish, yang disokong Amerika Syarikat, di utara Syria.

Sementara itu, Ketua Pengarah Bahagian Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas, Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata pihaknya mengesahkan terdapat lebih 50 rakyat Malaysia masih berada di Syria.

"Berdasarkan rekod maklumat dan perisikan kita, memang benar terdapat sekurang-kurangnya 50 rakyat negara ini yang menyertai DAESH masih berada di sana, namun kita tidak mengetahui status terkini mereka sama ada ditahan atau masih bebas.

"Ini disebabkan terdapat banyak pihak dari pasukan tentera tempatan berusaha memerangi DAESH di negara itu, termasuk menahan pengikut kumpulan militan berkenaan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya sentiasa bekerjasama dengan pasukan perisikan anti pengganas di luar negara bagi mendapatkan kesahihan laporan mengenai sebarang tangkapan ke atas warga negara ini.

"Pada masa ini kita masih belum menerima apa saja butiran mengenai tangkapan rakyat kita justeru adalah sukar untuk mengesahkan sebarang penangkapan membabitkan wanita dan kanak-kanak dari negara ini," katanya.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment