Tidak upaya sara hidup selepas kaki kiri dipotong
BANDARAYA MELAKA - Seorang pemandu lori kini tidak lagi mampu menyara kehidupannya selepas sebahagian kaki kiri terpaksa dipotong dari paras bawah lutut akibat penyakit kencing manis.
M. Kalidasan, 45, terpaksa mengharungi kehidupan ini sebatang kara selepas dikatakan berpisah dengan isterinya hampir tiga tahun lalu dan tinggal menyewa di Kampung Pulau Medang, Jalan Pulau Gadong di sini.
Menurutnya, sebelum berpisah dia bersama isteri menetap di Bemban, Jasin namun selepas berdepan pergolakan rumah tangga yang kemudiannya membawa kepada penceraian, dia akhirnya membuat keputusan untuk berpindah ke Pulau Gadong.
"Sebelum ini, meskipun tinggal seorang diri dan dipisahkan keluarga tetapi saya mampu menyarakan kehidupan sebagai pemandu lori namun selepas kesihatan semakin merosot apatahlah dengan kencing yang dihidapi membuatkan kehidupan semakin sukar.
"Pada mulanya kaki kiri saya dipotong pada paras buku lali tetapi selepas beberapa hari ia semakin merebak dan sukar diselamatkan membuatkan doktor terpaksa potong kaki saya dari paras bawah lutut dan sebulan terlantar di hospital.
"Baru dua hari ini, saya pulang ke rumah dan itupun segala makan minum terpaksa mengharapkan belas ihsan jiran-jiran," katanya.
Sementara itu, Sidang Hamzah Ibrahim yang mewakili Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Klebang Besar, Datuk Mohd Yusof Abu Hasan ketika melakukan lawatan hari ini, berkata, pihaknya telah mengaturkan bantuan menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
"Sejak dia mengalami masalah kesihatan JKKK memang ada menghulurkan bantuan seperti subsidi sewa rumah dan bantuan makanan semampu yang boleh, sementara menunggu bantuan daripada JKM.
"Hari ini, kita sumbang kerusi roda untuk memudahkan dia bergerak dan kita berharap JKM mempercepatkan permohonan bantuan lelaki ini, dan sekiranya keadaan perlu, kita cadangkan supaya dia dihantar ke rumah orang tua-tua di Cheng," katanya.
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment