MRA bantu mangsa banjir
KUALA LUMPUR: Malaysian Relief Agency (MRA) meneruskan misi bantuan terhadap mangsa banjir di beberapa kawasan terjejas termasuk di sekitar Sabah dan Terengganu.
Pengarah Bantuan Kecemasan dan Logistik MRA, Stein Van Lutam, berkata MRA mula menggerakkan penyelaras dan sukarelawan di peringkat negeri sejurus menerima maklumat cuaca buruk yang dijangka melanda negara.
Katanya, maklumat yang diterima daripada pelbagai pihak membantu MRA membuat perancangan teliti bagi membentuk program dan bantuan untuk diberikan kepada mangsa banjir.
"MRA sudah menyerahkan bantuan sumbangan berbentuk pek makanan dan kelengkapan kebersihan kepada mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) seperti di daerah Membakut, Sabah dan Dungun serta Kemaman, di Terengganu.
"Barangan bantuan yang diagihkan ini adalah sumbangan dana daripada Yayasan Hasanah dan orang ramai," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Lutam berkata, program bantuan mangsa banjir di Sabah diketuai oleh Penyelaras MRA Sabah, Alex Dennis manakala di Terengganu, Penyelaras MRA Pusat, Mukhri Ali dengan bantuan pasukan kesukarelawan.
MRA juga mewujudkan pusat operasi banjir yang ditempatkan bertempat di Ibu Pejabat MRA iaitu di Cheras bagi tujuan mengumpul maklumat, memantau dan menyelaras program yang akan dilaksanakan di negeri yang dilanda banjir.
"Sungguhpun keadaan banjir sudah beransur pulih, MRA masih memantau situasi di beberapa negeri yang terbabit bagi membolehkan program bantuan dimulakan segera sekiranya diperlukan.
"Selain itu, MRA juga sudah merancang program pasca banjir sejurus keadaan banjir pulih sepenuhnya.
"Antara program yang dirancang ialah pelaksanaan pemeriksaan kesihatan melalui klinik bergerak dan pembersihan kemudahan awam yang terjejas akibat banjir," katanya.
MRA turut melancarkan Tabung Bencana Banjir untuk memperkasakan lagi usaha bantuan.
Untuk maklumat lanjut, hubungi Sekretariat MRA di talian 03-91744672 atau 013-3371672 atau lawati laman www.mra.my
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment