Lelaki Bangladesh dipenjara 7 bulan
SEPANG: Seorang lelaki warga Bangladesh dijatuhkan hukuman penjara tujuh bulan selepas mengaku bersalah terhadap 239 tuduhan menyimpan pasport milik orang lain tanpa kuasa sah dan melanggar syarat pas lawatan yang dimiliki.
Harun, 40, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Harith Syam Mohamed Yasin, di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.
Berdasarkan kertas pertuduhan, bapa kepada tiga anak berusia satu hingga tiga tahun, yang juga dikenali sebagai Harun 2.0, didakwa menyimpan 238 pasport milik orang lain tanpa kuasa sah di sebuah premis pejabat beralamat HMM Maju Shah Sdn Bhd, No 8, Jalan 6/6, Taman Komersial, Pandan Indah, 50100, Kuala Lumpur, pada 4 Januari lalu.
Selain itu, Harun turut didakwa atas satu kesalahan melanggar syarat pas lawatan sosial yang dimilikinya di bawah proviso Peraturan 11(7) Peraturan Imigresen 1963.
Dia didakwa mengikut Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau denda kedua-duanya.
Bagi kesalahan melanggar syarat pas lawatan sosial, pendakwaan dilakukan mengikut Peraturan 39(b) Peraturan Imigresen 1963 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Jabatan Imigresen, V Kasthuri Bai, manakala tertuduh diwakili peguam, M Murugan.
Sementara itu, ketika prosiding berlangsung, Kasthuri Bai dalam hujahnya berkata walaupun tertuduh mengaku bersalah dan pengakuannya menjimatkan masa serta kos mahkamah, beliau memohon mahkamah mengambil kira faktor jenayah serius yang dilakukan tertuduh.
"Saya menyeru mahkamah mengambil kira faktor bahawa syarikat tertuduh bekerja tidak pernah didaftar sebagai syarikat menguruskan perihal pekerja asing dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) atau Jabatan Imigresen.
"Tertuduh juga tiada sebarang kuasa menyimpan dokumen milik orang lain, tiada syarikat untuk menjalankan kegiatan membekalkan pekerja atau menguruskan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) kepada mana-mana orang tetapi menjadi ejen menguruskan PLKS semata-semata bagi mengaut keuntungan besar kepada diri sendiri," katanya.
Tambah beliau, pihak pendakwaan berpendapat sekiranya terus dibenarkan kegiatan yang dijalankan tertuduh itu, ia akan memberi suatu persepsi dan impak di mata orang awam bahawa Jabatan Imigresen dan KDN mahupun kerajaan tidak menitikberatkan kesalahan seumpamanya.
"Kes ini menarik perhatian orang awam, yang mana selepas tangkapan tertuduh, Jabatan Imigresen menerima banyak lagi aduan berkaitan kes seperti ini, secara langsung membuktikan meningkatnya perhatian dan keprihatinan masyarakat," katanya.
Terdahulu, Murugan memohon mahkamah mempertimbangkan hukuman terhadap anak guamnya kerana masih mempunyai ibu bapa di Bangladesh yang difahamkan kehidupan mereka bergantung kepadanya, tambahan pula anak guamnya mengaku bersalah dan menginsafi kesalahan serta berjanji tidak mengulanginya.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment