Jumlah mangsa banjir di Dungun meningkat

Monday, January 1, 2018

Jumlah mangsa banjir di Dungun meningkat

Jumlah mangsa banjir di Dungun meningkat

DUNGUN: Jumlah mangsa banjir di daerah ini meningkat kepada 233 mangsa daripada 79 keluarga pagi ini, berbanding 49 mangsa dari 16 keluarga sehingga jam 9 malam tadi.

Malah, satu lagi pusat pemindahan sementara (PPS) Surau Besol Lama mula dibuka lewat malam tadi, berbanding hanya dua iaitu PPS Dewan Orang Ramai (DOR) Kampung Pasir Raja dan DOR Kampung Shukor.

Sehingga jam 8 pagi ini, PPS DOR Kampung Shukor menempatkan mangsa banjir teramai iaitu 155 orang daripada 47 keluarga, manakala seramai 77 mangsa daripada 31 keluarga di PPS DOR Kampung Pasir Raja, sementara hanya seorang mangsa di PPS Surau Besol Lama.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Ahmad Zailani Yaacob, berkata paras air yang semakin meningkat menyebabkan seramai 33 pelajar yang tinggal di asrama Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Raja dipindahkan ke PPS kampung itu, malam tadi.

Pelajar itu bersama tiga guru dan dua pengawal keselamatan dipindahkan oleh pihak berkuasa kira-kira jam 11 malam tadi.

"Seramai 12 pegawai dan anggota terbabit dalam operasi pemindahan pelajar dan guru ini menggunakan dua pacuan empat roda serta sebuah bot," katanya ketika dihubungi.

Dalam pada itu, laman sesawang publicinfobanjir.water.gov.my menunjukkan dua stesen di daerah ini merekodkan bacaan paras sungai melepasi paras bahaya, empat stesen melepasi paras amaran dan dua stesen melepasi paras waspada.

Sungai Dungun di stesen Pasir Raja mencatatkan paras sungai setinggi 38.37 meter (m) melepasi paras bahaya 37.50m, manakala stesen Kuala Jengai pada paras 21.33 melepasi 21m paras bahaya.

Selain itu di Kemaman, Sungai Kemaman di Kampung Air Putih melepasi paras amaran pada bacaan 13.63m/13m dan 18.30m melebihi 18m paras amaran.

Di Setiu, Sungai Setiu di Kampung Langkap merekodkan bacaan paras sungai 20.68m melebihi paras amaran 20.50m, manakala di Hulu Terengganu, Sungai Berang di Kampung Menerong pada paras 24.21 berbanding 24m paras waspada.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment