Nyaris ditetak angkara sindiket skim pelaburan palsu

Tuesday, November 21, 2017

Nyaris ditetak angkara sindiket skim pelaburan palsu

Nyaris ditetak angkara sindiket skim pelaburan palsu

KOTA BHARU: Nyaris ditetak, dimaki dan terpaksa sembunyikan diri, antara pengalaman yang dialami lebih 20 pelabur selepas terbabit dengan sebuah skim pelaburan palsu.

Ancaman itu diterima daripada orang ramai yang melabur di bawah mereka (downline) yang boleh dikatakan 24 jam 'memburu' meminta pulangan keuntungan pelaburan yang dijanjikan oleh sebuah syarikat menganjur program dikenali sebagai Myziacoin.

Skim pelaburan yang diperkenalkan pada September tahun lalu itu dikatakan akan membayar pulangan keuntungan pelaburan 10 peratus setiap bulan berdasarkan modal selama tempoh kontrak 12 bulan, namun sehingga kini kira-kira 150 mangsa yang melabur tidak mendapat imbuhan seperti yang dijanjikan.

Apabila berasa tertipu, sebilangan mangsa menyerang pelabur yang dilantik bagi menuntut modal yang sudah dilaburkan dan ada dalam kalangan mereka bertindak agresif.

Seorang pelabur yang turut menjadi mangsa penipuan syarikat pelaburan terbabit, Mohamad Azmi Hamat, 57, berkata sejak beberapa bulan lalu, dia terpaksa 'melarikan diri' termasuk berlindung di bawah jambatan akibat ancaman mangsa tipu yang sering datang mencarinya di rumah.

"Sebelum ini saya mengajar mengaji al-Quran di rumah dan sejak menjadi buruan mangsa yang melabur, aktiviti (mengaji) sudah dihentikan selain turut dipandang serong jiran.

"Bukan hanya itu, saya nyaris ditetak dan terpaksa mendahulukan wang sendiri untuk membayar sedikit demi sedikit kepada mereka," katanya kepada pemberita selepas sidang akhbar mengenai dakwaan penipuan skim pelaburan oleh sebuah syarikat di sini, hari ini.

Penganjur program Myziacoin yang didakwa akan mengeluar produk wang digital untuk ditawarkan kepada orang ramai dan menjanjikan pelbagai bonus pemasaran, malah bagi memberi keyakinan kepada orang ramai, mereka menyediakan satu perjanjian antara pihak syarikat dengan sebahagian pelabur menggunakan khidmat peguam.

Menyedari diri ditipu, 10 pelabur yang juga mangsa tampil membuat laporan polis berhubung penipuan sindiket terbabit bersama Persatuan Pengguna Islam Kelantan (PPIK) bagi mendapatkan perlindungan diri daripada ancaman.

Pengerusi PPIK, Datuk Seri Dr Mohd Fared Abdul Ghani, berkata kerugian yang dialami kira-kira lebih 150 pelabur di negeri ini mencecah jutaan ringgit.

"Penderitaan mangsa akibat penipuan melalui skim pelaburan palsu amat teruk sehingga berlaku keruntuhan institusi masyarakat dan keluarga," katanya.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment