Kabinet teliti gred guru besar, penolong kanan

Tuesday, November 21, 2017

Kabinet teliti gred guru besar, penolong kanan

Kabinet teliti gred guru besar, penolong kanan

IPOH: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan membawa isu gred jawatan guru besar dan penolong kanan yang dikatakan tidak memuaskan, ke mesyuarat Jemaah Menteri, Jumaat ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau akan membawa perkara berkenaan untuk dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet, walaupun sedar penjawat jabatan lain dalam sektor awam juga akan menuntut kajian semula gred mereka.

"Secara rasional, bila minta naik, sektor lain pun akan minta perkara sama. Kita akan tengok, tapi kita akan beri keutamaan kepada cikgu," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Kepemimpinan Pendidikan dan Guru Negeri Perak Bersama-sama Timbalan Perdana Menteri sempena Persidangan Perwakilan Majlis Guru Besar Negeri Perak Ke-30 di sini hari ini.

Ahmad Zahid mengulas permintaan berkenaan yang disuarakan Yang Dipertua Majlis Guru Besar Negeri Perak, merangkap Naib Yang Dipertua 2 Gabungan Majlis Guru Besar Malaysia, Rustam Affandy Abdul Aziz, dalam ucapan mereka.

Rustam Affandy yang mewakili 7,772 guru besar memohon jasa baik Ahmad Zahid membantu agar gred jawatan pentadbir di sekolah rendah sama taraf dengan gred jawatan kenaikan pangkat di sekolah menengah, yang diperjuangkan majlis berkenaan sejak 2010.

Beliau berkata, ketika ini guru biasa yang dilantik sebagai guru besar sekolah rendah akan kekal dengan gred hakiki DG34 yang disandang dan hanya diberi elaun jawatan sebanyak RM200 manakala penolong kanan kekal dengan gred DG32 dan diberi elaun RM60 sebulan.

Katanya, ia berbeza di sekolah menengah apabila mereka yang dilantik sebagai pengetua dinaikkan daripada gred DG48 kepada DG52, dan diberi elaun jawatan RM300 sebulan manakala penolong kanan akan dinaikkan daripada gred DG44 kepada DG48.

Rustam Affandy berkata, kebyakan guru besar, penolong kanan dan guru sekolah rendah ketika ini ialah siswazah, sama seperti guru sekolah menengah.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, Kementerian Pendidikan antara kementerian yang menerima peruntukan terbanyak setiap kali bajet dibentangkan sekali gus menunjukkan keprihatinan kerajaan, khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, terhadap masa depan pendidikan negara.

Beliau berkata, terbaharu Kerajaan Pusat meluluskan peruntukan RM1 bilion masing-masing untuk Sabah dan Sarawak bagi meningkatkan infrastruktur dan kemudahan sekolah di dua negeri itu.

Hadir sama pada majlis itu, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P Kamalanathan; Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Datuk Dr Muhamad Amin Zakaria; Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Seri Mohd Puhat Mat Nayan dan Pengarah Pendidikan Perak, Datuk Mat Lazim Idris.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment