'Tiada had masa untuk mengundi'

Monday, November 20, 2017

'Tiada had masa untuk mengundi'

'Tiada had masa untuk mengundi'

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini diberitahu, tiada peruntukan dalam Peraturan Mesyuarat yang menghalang wakil rakyat lewat memasuki dewan untuk menyertai proses pengundian.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, berkata penelitian terhadap Peraturan Mesyuarat 41, 42 dan 43 mendapati tiada pelanggaran berlaku ketika proses pengundian belah bahagi untuk meluluskan kepala bekalan dan pembangunan B25/P25 Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Sehubungan itu, beliau berkata, mana-mana wakil rakyat yang memasuki dewan selepas loceng berhenti dibunyikan masih boleh mengundi selagi keputusan belum diumumkan.

"Semua Peraturan Mesyuarat 41, 42 dan 43 diikuti sepenuhnya, cuma Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) lambat datang tetapi Peraturan Mesyuarat tidak mengatakan yang lambat datang tidak dikira (undi)... tiada `time frame' (had masa) selagi keputusan belum diumumkan," katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab dakwaan wakil rakyat blok pembangkang yang tidak berpuas hati dengan keputusan undian belah bahagi sejurus Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainuddin selesai menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2018 peringkat jawatankuasa bagi kementeriannya.

Undian belah bahagi menghasilkan keputusan 52 Ahli Parlimen bersetuju, manakala 51 tidak bersetuju dan dua lagi berkecuali.

Bagaimanapun, keputusan undi belah bahagi itu mencetuskan kekecohan dan kemarahan wakil rakyat pembangkang yang mendakwa Kiandee tidak berlaku adil dan wujud penipuan ketika proses pengundian dijalankan.

Gobind Singh Deo (DAP-Puchong) bangkit dan merujuk Peraturan Mesyuarat 87(2) mendakwa proses pengundian dilengahkan oleh Kiandee bagi membolehkan Ahli Parlimen BN menyertai proses berkenaan.

"Apa yang berlaku tadi adalah pre-mockery (cuba mempermainkan) terhadap dewan yang mulia, proses dilengahkan. Kenapa ini berlaku dalam Dewan Rakyat. Seluruh dunia memerhati, Speaker tidak boleh mengawal prosiding," katanya.

Majoriti wakil rakyat pembangkang kemudian keluar dewan apabila Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Ismail Mohamed Said, yang mengambil alih tempat Kiandee meneruskan sesi perbahasan bagi Kementerian Kerja Raya.

Terdahulu, G Manivannan (PKR-Kapar) memohon proses undian belah bahagi diadakan ketika Kiandee meminta persetujuan wakil rakyat untuk meluluskan B25/P25 KPDNKK.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment