Maut terkena renjatan elektrik ketika tangkap ikan

Friday, August 24, 2018

Maut terkena renjatan elektrik ketika tangkap ikan

Maut terkena renjatan elektrik ketika tangkap ikan

BESUT - Seorang lelaki maut dipercayai terkena  renjatan elektrik ketika menangkap ikan di Sungai Bekok dekat simpang Lata Tembakah, Bukit Payong, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, mangsa keluar untuk menangkap ikan di sungai berkenaan bersama seorang abangnya.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, pihaknya menerima maklumat pada jam 3.10 petang  berhubung seorang lelaki, Ahmad Khusairie Mohamad, 26, didapati meninggal dunia akibat elektrik.

Menurutnya, pihaknya menerima maklumat daripada kakitangan perubatan Klinik Kesihatan Pasir Akar selepas dipanggil oleh keluarga mangsa untuk membuat pengesahan kematian di rumah keluarga mangsa di Kampung Padang Bual, Hulu Besut.

“Mangsa dikatakan pergi ke sungai tersebut bersama abangnya, Azmi, 41, untuk menangkap ikan menggunakan kaedah renjatan elektrik dengan alat generator yang diletakkan dalam pelampung dari tiub tayar kenderaan.

“Apabila sampai di sungai itu, mereka dapati air sungai keruh lalu abang mangsa menasihatkan adiknya supaya tidak perlu mengarang (renjatan elektrik) lalu abang mangsa naik ke tepi jalan,” katanya.

Mohd Zamri berkata lagi, apabila abang mangsa menunggu terlalu lama tetapi adiknya tidak muncul maka dia  kembali ke sungai dan mendapati adiknya berada dalam keadaan terlentang dalam keadaan tidak sedarkan diri di tebing sungai dengan kaki di dalam air sedalam kira-kira 0.5 meter.

Menurutnya, abang mangsa memanggil dan mengejutkan adiknya tetapi tidak ada tindak balas dan mengesyaki adiknya telah meninggal dunia akibat terkena renjatan elektrik yang digunakan itu.

“Abang mangsa membawa pulang mayat adiknya ke rumah keluarga mereka di Kampung Padang Bual sebelum memanggil kakitangan Klinik Kesihatan Pasir Akar untuk mengesahkan kematian,” katanya.

Mohd Zamri berkata lagi, susulan itu sepasukan polis telah ke rumah mangsa dan membawa mayat mangsa ke Unit Forensik Hospital Besut untuk bedah siasat.

Menurutnya, hasil bedah siasat oleh pegawai perubatan mendapati mangsa meninggal dunia akibat terkena renjatan elektrik dan tidak ada unsur jenayah.

“Polis mengklasifikan kes ini sebagai mati mengejut manakala mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada waris untuk urusan pengkebumian,” katanya.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment