Mat Sabu seperti cybertrooper upahan: Nasrudin

Sunday, August 26, 2018

Mat Sabu seperti cybertrooper upahan: Nasrudin

Mat Sabu seperti cybertrooper upahan: Nasrudin

KUALA LUMPUR - Pas menganggap dakwaan parti itu menerima duit daripada Umno sebagai fitnah lapuk yang dikitar semula.

Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hassan berkata, lebih memalukan apabila ia dikitar sendiri oleh menteri yang tidak ubah lagaknya seperti cybertrooper upahan.

“Amat malang bagi PH yang telah membentuk kerajaan Persekutuan terus mengadakan Jelajah Malaysia Baharu untuk menjaja fitnah yang diulang-ulang sejak tiga tahun lalu.

“Sepatutnya mereka menumpukan fokus untuk memulihkan kegagalan menyempurnakan 10 janji 100 hari dan meningkatkan keyakinan rakyat serta pelabur. Tetapi sibuk dengan agenda ceramah ala pembangkang untuk membentuk kembali persepsi lapuk yang telah mereka doktrinkan selama ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Timbalan Presiden PH, Mohamad Sabu mendakwa pihaknya mempunyai bukti Pas menerima duit daripada Umno.

Mohamad yang juga Menteri Pertahanan berkata, bukti itu akan didedahkan dalam perbicaraan di London pada April tahun depan.

Menurut Nasrudin, Mohamad meniupkan fitnah itu bagi melupakan kes Setiausaha Politiknya yang dikaitkan dengan salah guna kuasa dan rasuah mencecah RM800,000 masih disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Beliau ibarat ayam jantan berkokok berderai-derai, ekor bergelumang tahi,” katanya.

Katanya, Mohamad seharusnya mengambil serius teguran Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menambah baik perkhidmatan di kementerian.

“Dr Mahathir berkata, anggota Kabinet tiada pengalaman dan tidak berapa tahu tentang tanggungjawab kementerian. Oleh itu, manfaatkan masa untuk terus menambahbaik fungsi dan peranan di kementerian di samping fikir untuk laksana agenda-agenda yang lebih baik demi kepentingan rakyat.

“Mereka tidak selayaknya terus menerus melakukan fitnah lapuk yang entah berapa kali dikitar semula,” katanya.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment