Malaysia sukar capai belanjawan berimbang pada masa ini

Monday, August 27, 2018

Malaysia sukar capai belanjawan berimbang pada masa ini

Malaysia sukar capai belanjawan berimbang pada masa ini

KUALA LUMPUR - Hasrat kerajaan untuk mewujudkan belanjawan berimbang sukar dicapai pada masa ini dan dalam tempoh beberapa tahun akan datang berikutan kedudukan kewangan negara yang terkongkong dan terhad, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Beliau berkata selain daripada itu, jumlah hutang negara kini yang hampir mencecah RM1 trilion turut menyukarkan matlamat tersebut dilaksanakan.

"Dalam mengimbangi perbelanjaan pembangunan dan pengurusan, sekiranya kerajaan boleh berbelanja lebih untuk perbelanjaan pembangunan ia akan membawa kepada pertumbuhan ekonomi yang lebih pesat dan rakyat boleh merasai perbezaannya dari segi kualiti hidup.

"Namun dalam keadaan kewangan negara yang terhad ini ia bukan sesuatu yang mudah dicapai," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) 2018 di persidangan Dewan Negara hari ini.

Terdahulu, pada sesi perbahasan RUU itu, Senator Chandra Mohan S. Thambirajah mencadangkan agar kerajaan memperkenalkan belanjawan berimbang dan memberi peruntukan lebih bagi pembangunan.

Dalam perkara berasingan, Lim berkata peruntukan perbelanjaan yang disekat atau ditambah,  hanya dikenakan terhadap kementerian atau agensi yang dirombak mahu pun dipindahkan.

"Jadi apabila kita sebut ada sekatan atau ada tambahan itu hanya spesifik untuk kementerian tertentu. Sekiranya ada agensi dikeluarkan, maka wang akan disekat. Tapi sekiranya ada agensi dipindah masuk (ke mana-mana kementerian) tentulah wang akan bertambah.

"Secara keseluruhannya jumlahnya (belanjawan) masih sama seperti mana yang telah diluluskan, tentunya ia tidak ambil kira urusan-urusan 'off-budget' oleh kerajaan terdahulu," katanya.

RUU itu memperuntukkan RM6.22 bilion itu, dibentangkan berikutan berlaku beberapa penyusunan semula kementerian selepas PRU14.

Beberapa kementerian disusun serta dinamakan semula dan beberapa kementerian baharu ditubuhkan serta sebuah kementerian dibubarkan dengan fungsi-fungsinya dipindahkan kepada kementerian lain.

Ia juga bagi memperuntukkan semula suatu akta menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk perbelanjaan perkhidmatan bagi sebahagian tahun 2018.

RUU itu kemudiannya diluluskan untuk bacaan kali ketiga dengan undian suara majoriti di hadapan Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara Datuk Seri Abdul Halim Abd Samad.

Persidangan bersambung esok. รข€" Bernama



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment