Hospital Kerian: Sudah tukar kerajaan pun masih lewat?
PARIT BUNTAR - Pas Kawasan Parit Buntar mendesak kerajaan Harapan agar tidak mempersendakan harapan rakyat Parlimen ini bagi memiliki kemudahan Hospital Kerian yang diidamkan sejak tiga penggal pilihan raya dahulu.
Timbalan Yang Dipertua (YDP) Pas kawasan itu, Abu Bakar Hussain berkata, desakan itu dibuat susulan pengumuman Exco Kerajaan Negeri, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim semalam menyatakan kemungkinan pembinaan Hospital Kerian berlaku kelewatan dari tarikh siap ditetapkan.
Menurutnya, pengumuman itu sebenarnya menggusarkan rakyat Parlimen Parit Buntar dan daerah Kerian kerana mereka tidak mahu kelewatan pembinaan hospital itu berulang kembali sepertimana berlaku pada era kerajaan BN lepas.
"Bagi kami, kenyataan "mungkin lewat" adalah manfestasi kepada pembinaan hospital baharu tersebut bakal menghadapi masalah pada masa depan.
"Walhal sebelum ini, kerajaan Harapan menerusi barisan Exco Kerajaan Negeri dan Menteri kerajaan Pusat memberi jaminan bahawa projek pembinaan Hospital Kerian akan diteruskan tanpa berlaku sebarang penangguhan daripada jadual ditetapkan.
"Saya berpendapat inilah pendirian 'flip flop' kerajaan Harapan dalam menyambung projek kerajaan terdahulu dengan lebih gemar memberikan pelbagai alasan daripada menepati janji dibuat,"katanya.
Abu Bakar berkata, tindakan kerajaan Harapan Perak meletakkan alasan masalah teknikal daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) sebagai punca kemungkinan projek Hospital Kerian lewat disiapkan juga dianggap tidak relevan.
Menurutnya, hal ini kerana selaku sebuah kerajaan yang bukan sahaja mentadbir kerajaan negeri, malah turut berkuasa di peringkat Persekutuan, JKR adalah di bawah seliaan mereka dan sepatutnya satu arahan jelas boleh dikeluarkan bagi memastikan agensi kerajaan itu dapat menjalankan tanggungjawab sebagaimana diamanahkan.
"Sudahlah kerajaan BN terdahulu tidak menepati janji ,apakah kerajaan Harapan juga akan mengambil sikap yang sama cuba untuk membohongi rakyat?
"Saya kira polemik terbaharu ini menimbulkan keresahan dan rasa curiga rakyat terhadap kemampuan serta ketelusan kerajaan hari ini yang akhirnya dibimbangi rakyat yang akan menjadi mangsa pada akhirnya,"katanya.
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment