Dongeng Sumpah Dewata Naja dinobatkan juara
KOTA BHARU - Garapan nukilan cinta dan dendam menerusi cerpen berkisarkan cerita dongeng sumpahan ular berjudul Sumpah Dewata Naja dinobatkan pemenang utama kategori cerpen pada Peraduan Penulisan Kreatif 2018 di sini.
Program anjuran Kerajaan Kelantan dan Gabungan Penulis Muda Negeri Kelantan (Gema) itu telah mengangkat karya bekas pensyarah Bahasa Inggeris, Tuan Siti Mastazameatun Long Tuan Kecik, 37.
Cerpen berkenaan menyentuh mengenai sumpahan dendam lama dan ketamakan kuasa bersulamkan keluhuran kasih sayang yang begitu memegang pembacanya untuk terus menghabiskan bacaan sehingga noktahnya.
Ibu kepada empat anak itu berkata, dia mendapat inspirasi pengolahan jalan cerita itu daripada Hikayat Gul Bakawali dan akhirnya mampu menyiapkan cerpen genre klasik yang sangat mencabar dirinya itu.
âKali ini saya mencabar diri memilih karya klasik dan sebelum ini saya memilih tema kekeluargaan. Alhamdulillah hasil kursus Liga Penulisan Kelantan juga saya dapat menyiapkan cerpen ini dengan plot-plot yang sangat menarik untuk dibaca,â katanya.
Hadiah disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan Kelantan, Datuk Md Anizam Ab Rahman.
Hadir sama, Presiden Pertubuhan Peradaban Melayu Kelantan, Datuk A Aziz Deraman; Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur, Che Zainab Omar dan Ketua 1 Gema, Zainal Abicin Muhamad.
Sementara itu, karya berjudul Mimpi Maria ciptaan Mazita Md Nor mendapat tempat kedua, manakala tempat ketiga dimenangi Ruhani Ismail dengan cerpen bertajuk Pergi Tanpa Pesan.
Bagi kategori puisi pula, sentuhan Auni Dzul dengan judulnya Ketika Aku Melangkah Keluar berjaya menambat hati juri untuk dipilih sebagai johan, manakala naib johan milik Alia Seman (Kau Menjadi Benteng Dari Ombak Liar Itu) dan ketiga, Nik Rozainah Nik Abdul Ghani (Harapan).
Pemenang menerima wang tunai dan sijil penghargaan.
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment