Mohd. Sufi Naeif Mohd. Fauzi, 28, berkata, dia bersama isteri, Farah Madiha Othman, 28, dan ahli sekeluarga telah mengharapkan yang terbaik untuk anak tunggalnya itu namun reda dengan apa yang berlaku.
"Saya selaku ayah Adam Rayqal mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang sudi membantu dan bersama berkongsi kesedihan.
"Insya Allah, Adam Rayqal akan tunggu kami bersama di syurga... terima kasih semua," katanya kepada pemberita selepas selesai urusan pengebumian di Tanah Perkuburan Ladang Tok Pelam, di sini malam tadi.
Jenazah bayi berusia lima bulan yang ditemukan mati di rumah pengasuhnya di Kampung Nakhoda, Batu Caves dengan mayatnya tersorok dalam ruang sejuk beku peti ais di rumah tersebut semalam selamat dikebumikan kira-kira pukul 10.30 malam tadi.
Dalam perkembangan sama, Mohd. Sufi Naeif memohon rakyat Malaysia agar tidak berkongsi mahu pun menyebarkan gambar anaknya yang tidak sepatutnya.
"Saya mungkin tidak 'alert' tentang itu tetapi kalau ada yang berkongsi gambar Adam Rayqal yang tidak sepatutnya mintak tolong hormati privasi arwah anak saya," katanya. - UTUSAN ONLINE
sumber: utusan
0 comments:
Post a Comment